Gambar hiasan. Foto MUHAIMIN MARWAN.

BUTTERWORTH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengarahkan di sebuah kilang di Perai, di sini, ditutup susulan seorang pekerja maut manakala  seorang kritikal lagi akibat terhidu gas beracun.

Pejabat Pengarah JKKP negeri dalam kenyataan  berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan selepas menerima panggilan berhubung kejadian terbabit.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati seramai lapan pekerja syarikat kontraktor dilantik untuk menjalankan kerja-kerja fumigasi kawalan makhluk perosak di kilang terbabit selama lapan hari bermula 21 hingga 28 Januari lalu.

“Susulan itu, seorang pekerja dilaporkan kembali semula ke lokasi fumigasi pada 29 Januari bersama seorang lagi rakannya untuk mengambil bacaan gas di sebuah bangunan di kilang terbabit.

“Mereka berdua kemudian dilaporkan mengalami muntah dan sesak nafas serta pengsan selepas meninggalkan premis itu dan segera dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.

“Impak kejadian itu, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di hospital pada 30 Januari manakala seorang lagi mangsa dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU),” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, doktor yang merawat kedua-dua mangsa mengalami sesak nafas dan sakit tekak selepas membuat rawatan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa.

“Dalam insiden itu, enam lagi pekerja yang mengalami simptom awal pendedahan kepada gas beracun dibenarkan pulang ke rumah tetapi masih di bawah pemantauan.

“Susulan kejadian ini, kita arahkan penutupan keseluruhan kawasan lokasi fumigasi di kilang itu sehingga siasatan selesai selain notis larangan penggunaan bahan kimia berbahaya iaitu ‘Methyl Bromide’ turut dikeluarkan.

“Kita turut mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada jabatan,” katanya.

Tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran, di mana di bawah akta ini, hukuman maksimum terhadap majikan adalah sebanyak RM500,000 jika didapati sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here