JOHOR BAHRU – Seramai 4,300 pelajar dan 212 guru terlibat dalam fasa permulaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) apabila sekolah dibuka pada 16 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, projek rintis itu memberi penekanan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris.
“Pelajar SRBJ terlibat akan diwajibkan melengkapkan sekurang-kurangnya 112 jam kelas dalam mata pelajaran STEM setiap tahun berbanding sekurang-kurangnya 64 jam di sekolah lain.
“Sebagai persediaan, seramai 212 guru sekolah rendah dan menengah terlibat telah dihantar ke Institut Pendidikan Negara (NIE) di Singapura untuk latihan dan bengkel sebagai persediaan pembukaan sekolah rintis pada pertengahan bulan ini.
“Kita mahu semua 212 guru memperoleh sijil mengikut piawaian antarabangsa, Common European Framework of Reference For Language (CEFR). Mereka ini menjadi tulang belakang SRBJ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bantuan Kasih Murid Johor di AEON Mall Tebrau, di sini hari ini.
Projek SRBJ itu di peringkat permulaan membabitkan dua sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara serta dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.
Menerusi Belanjawan Johor 2025, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.22 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah yang berpotensi SRBJ.
Sekolah rintis itu akan diberi keutamaan daripada segi menaik taraf kemudahan sekolah seperti makmal komputer serta bilik sains yang lebih dinamik dan maju selaras dengan edaran semasa.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, untuk SRBJ daripada segi sistem pembelajaran dan silibus akan ada penambahan namun sesi persekolahan masih sama.
Katanya, bagi sekolah menengah melibatkan semua pelajar namun tumpuan lebih kepada pelajar tingkatan dua dan tiga yang menjadi penanda aras setelah hasilnya boleh dilihat dalam tempoh kira-kira tiga tahun.
“Di sekolah rendah, ini akan melibatkan semua murid dengan sistem pendidikan yang kita sudah susun, paling penting ia tidak mengubah dasar pendidikan negara, hanya sedikit penambahan kepada silibus sedia ada.
“Kita juga akan melakukan sesi libat urus bersama ibu bapa supaya mereka faham dan jelas apa sebenarnya hasrat kerajaan negeri menerusi projek rintis ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette