A Rahim (tengah) sebelum melepaskan konvoi motosikal kuasa Tinggi yang menjelajah dan mempromosikan FLLSPG ke-27 di pekarangan Menara Aqabah, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Seramai 500,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-27 di Bukit Layang-Layang, di sini, mulai 12 hingga 16 Februari ini.

Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A Rahim Nin berkata, festival kali ini bakal disertai 126 peserta antarabangsa daripada 44 negara dan 250 peserta tempatan di bawah gabungan MPM.

“Terdapat tiga negara baharu yang akan turut serta pada tahun ini iaitu dari La Reunion, Tasmania dan Tahiti. Antara negara lain yang terlibat adalah dari Brazil, Portugal, Kanada, Perancis, Australia, Korea, Indonesia, Kemboja dan Argentina.

“Festival anjuran Persatuan Pelayang Johor (PPJ) bersama-sama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan MPM in pada tahun ini bekerjasama dengan kerajaan negeri Perlis dan pihak penganjur di Thailand.

“Kolabirasi ini melalui penganjuran Fiesta Layang-Layang Antabangsa Perlis 2025 pada 18 Februari ini dan pihak penganjur Festival Layang-Layang Antabangsa Satun, Thailand pada 20 hingga 23 Februari ini,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah, di sini, hari ini.

Katanya, menerusi FLLSPG ke-27 pihak penganjur akan menyediakan Galeri Pameran Khas yang memaparkan keunikan layang-layang antarabangsa dari negara seperti Indonesia, Sweden, Kemboja, Thailand, Brunei dan Malaysia.

Menurutnya, perasmian festival pada kali ini akan disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Astaka Tradisional, Bukit Layang-Layang pada pukul 8 malam, 15 Februari ini dengan kelainan perasmian melibatkan perarakan semua peserta.

A Rahim berkata, antara acara utama yang dapat disaksikan sepanjang festival itu melibatkan persembahan pelbagai bentuk layang-layang moden, tradisional, kecik dan besar dengan penuh warna warni.

Jelasnya, ini termasuk pertandingan wau dan layang-layang naik serta wau sobek peringkat kebangsaan selain pameran pelbagai layang-layang antarabangsa yang kreatif dan menarik dari enam negara.

“Begitu juga diadakan bengkel pertandingan membuat wau peringkat kebangsaan, persembahan layang-layang dan drone bercahaya LED waktu malam,” katanya.

Menyedari festival berkenaan yang semakin mendapat sambutan, beliau memberitahu, mulai tahun depan FLLSPG akan diadakan dua kali setahun iaitu melibatkan peringkat sedunia dan peringkat kebangsaan.

Bagi peringkat kebangsaan ujarnya, akan diadakan pada September atau Oktober ini manakala peringkat sedunia diadakan pada Februari tahun depan bagi memastikan lebih teratur selain menjamin keselamatan pengunjung.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here