KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berjanji akan menyelesaikan cadangan untuk mewujudkan pasar malam berkonsepkan Jonker Walk di Hang Tuah, Melaka.
Mohd Noor Helmy berkata, beliau akan pastikan perkara yang dikhuatiri banyak pihak itu tidak akan berlaku.
Katanya, perkara itu akan cuba diselesaikan bersama wakil-wakil rakyat Melaka di dalam kumpulan aplikasi Whatsapp mereka.
“Isu Jonker Walk Jalan Hang Tuah. Nanti kami settlekan dalam group whatsapp waibee-waibee (yang berhormat) Melaka.
“Janji saya, takkan jadi seperti yang “dikhuatiri”, katanya menerusi hantaran di Facebook
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, DAP Melaka akan tetap meneruskan cadangan untuk mewujudkan pasar malam berkonsepkan Jonker Walk di Hang Tuah Mall biar pun mencetuskan pelbagai kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Setiausaha Organisasinya, Low Chee Leong berkata, pasar malam seperti Jonker Walk atau Jonker Walk 2.0 itu bagaimanapun bukannya menggunakan nama terbabit, malah peniaga juga terdiri daripada pelbagai kaum dan bukan didominasi kaum Cina sahaja.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana dipetik berkata, cadangan mewujudkan Jonker Walk 2.0 itu adalah susulan kejayaan Jonker Walk di Jalan Hang Jebat sejak 25 tahun dulu sehingga terkenal di seluruh dunia. – MalaysiaGazette