GEORGE TOWN – Pertubuhan Ihsan Muda Pulau Pinang menyeru seluruh rakyat di negara ini menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahi membangunkan semula Gaza.
Presidennya, Muhd Arshad Abdul Rahman berkata, inisiatif membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza adalah satu langkah positif yang patut dihargai dan diberi sokongan oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Usaha ini bukan sahaja untuk mengurangkan penderitaan masyarakat Gaza yang ditindas, tetapi juga memberi harapan kepada mereka untuk membina semula kehidupan dalam suasana yang lebih aman dan damai.
Kebajikan masyarakat yang terkesan oleh konflik ini perlu diberikan perhatian serius, dan tindakan segera perlu diambil untuk menghentikan keganasan.
“Sehubungan itu, seluruh rakyat Malaysia diharap dapat memberi sokongan padu kepada usaha ini demi mencapai matlamat tersebut,”katanya dalam kenyataan media.
Mengulas lanjut beliau turut berkeyakinan Perdana Menteri akan memberi perhatian yang sewajarnya kepada isu kebajikan rakyat dalam negara.
“Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar keluhan rakyat dan berharap agar perhatian juga diberikan kepada isu-isu kebajikan dalam negara yang melibatkan rakyat Malaysia.
“Pihak berwajib di setiap kementerian juga perlu bertindak segera untuk menyelesaikan perkara-perkara yang berbangkit,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak pihak tertentu yang mempertikaikan usaha kerajaan dalam membantu membangunkan semula Gaza.
Katanya, tindakan menentang usaha membangunkan Gaza itu tidak selaras dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya sentiasa menghulurkan bantuan terutama kepada saudara seagama mengikut keupayaan.
Media terdahulu melaporkan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan kerajaan agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu sebelum menyatakan komitmen untuk membangunkan semula Gaza.
Sebelum ini, Anwar berkata Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha permulaan dalam membantu membangunkan semula Gaza. – MalaysiaGazette