KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengingatkan DAP agar ‘jangan lebih sudu dari kuah’ berhubung cadangan untuk mewujudkan pasar malam berkonsepkan Jonker Walk di Hang Tuah Mall, dekat Melaka.
Bakri Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu menegaskan, walau apa pun alasan diketengahkan oleh DAP, Jalan Hang Tuah tidak boleh dijadikan Jonker Walk 2.0.
Katanya, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa nama sebenar Jonker Walk adalah Jalan Hang Jebat.
“Nama Hang Jebat hilang dan tenggelam disebabkan kegiatan sosioekonomi yang berjalan di Jonker Walk tidak langsung melambangkan identiti pahlawan Melayu Melaka yang berjasa kepada negeri Melaka.
“Malahan Makam Hang Kasturi juga berada di kawasan ini. Agaknya berapa ramai pelancong yang datang semata-mata menziarahi makam Hang Kasturi?” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bakri berkata, hari ini masyarakat umum lebih mengenali Jonker Walk sebagai China Town dan bukan lagi Hang Jebat Walk.
Begitu juga dengan Jalan Bendahara yang dikenali dengan nama Little India di mana di kawasan tersebut boleh didapati pelbagai jenis makanan, cenderamata dan rempah ratus yang berasaskan kepada tradisi masyarakat India.
Tegasnya, beberapa Exco kerajaan negeri Melaka seperti Datuk Dr Akmal Saleh dan Datuk Wira Abd Razak Abd Rahman bersuara membantah konsep Jonker Walk dibawa ke Jalan Hang Tuah menerusi media sosial mereka.
“Konsep Jonker Walk yang diidamkan DAP iaitu berniaga secara terbuka, kalau dibawa ke Jalan Hang Tuah pertamanya akan mematikan peniaga Melayu yang kurang daya saingnya.
“Seperti yang saya ungkapkan sebelum ini indentiti Jalan Hang Tuah perlu dikekalkan sebagai pusat perniagaan Melayu.
“Apa yang perlu dilakukan adalah bagaimana kerajaan negeri mengambil inisiatif membantu memajukan lagi kawasan ini hingga boleh dijadikan sebagai Objek Wisata (Produk Pelancongan ) yang bercirikan kebudayaan Melayu dari segi kulinari, pakaian, cenderamata, kraftangan dan lain-lain lagi.
“Saya yakin sekiranya Melaka mempunyai “Political Will” Insyaallah ianya akan berhasil untuk membantu menaikkan sosio-ekonomi peniaga-peniaga Melayu dan Bumiputera,” ujar beliau.
Katanya, peniaga-peniaga jangan dikenakan bayaran tapak yang tinggi dan diurus terus oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan bukan menyerahkannya kepada pihak ketiga.
Tambah beliau, pada kebiasaanya pihak ketiga akan mengenakan caj yang tinggi terhadap peniaga-peniaga berbanding kutipan bayaran yang dilakukan oleh MBMB.
Penarik Beca perlu diberi lesen operasi yang lebih luas kawasannya dari bangunan Stadhys hingga ke Hang Tuah Walk melalui Jalan Kampung Hulu.
“Saya yakin pihak MBMB lebih arif dan memahami soal mengangkat martabat Jalan Hang Tuah dan peniaga kecil Melayu Buniputera.
“Secara holistik tidak timbul pembangkang memainkan isu untuk populariti atau mengeruhkan keadaan.
“Apa yang dilakukan adalah memberikan pandangan dan teguran demi kebaikan bersama buat rakyat khusus orang Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette