BALING – Lelaki yang ditahan polis kerana disyaki membakar sembilan buah rumah di Kupang, di sini, bulan lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen esok.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, suspek berusia 23 tahun itu berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Sebanyak lapan laporan polis diterima membabitkan kes ini dan tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
“Siasatan yang lengkap telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 28 Januari lalu dan kita mendapat arahan untuk mendakwa suspek bagi ketiga-tiga kertas siasatan yang dibuka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Media pada 22 Januari lalu melaporkan dendam akibat dibuli di tempat kerja disyaki menjadi punca seorang lelaki bertindak membakar sembilan buah rumah di Kupang, Baling sejak pertengahan Disember hingga awal bulan Januari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek berusia 23 tahun yang juga penganggur dan penduduk Kupang ditahan pada jam 12.30 tengah malam, Isnin lalu.
“Kesemua sembilan kes khianat yang dilakukan suspek berpunca daripada dendam kerana sering dibuli di tempat kerja sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. – MalaysiaGazette