Antara tarikan mengenai lebah kelulut yang disediakan bersempena Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya 2025 di Taman Botani, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 FEBRUARI 2025

PUTRAJAYA – Bukan sebarang madu, madu kelulut kini dilihat merupakan komoditi baharu yang semakin berpotensi untuk dikembangkan.

Berdasarkan data Jabatan Pertanian, pengeluaran madu kelulut dalam negara kini mencecah hampir 146,000 kilogram (kg) bernilai lebih RM21 juta.

Antara tarikan mengenai lebah kelulut yang disediakan bersempena Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya 2025 di Taman Botani, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 FEBRUARI 2025

Uniknya madu jenis ini bukan hanya boleh dimakan malah boleh menjadi produk premium lain seperti kosmetik dan makanan tambahan kesihatan.

Justeru itu, Hari Terbuka Pertanian Bandar tahun ini turut memaparkan madu kelulut.

“Khususnya untuk madu kelulut ini, saya kira memang potensinya agak besar.

“Ada banyak produk hiliran yang boleh dihasilkan daripada madu kelulut termasuk kecantikan, kosmetik selain daripada hasil yang bagus untuk kesihatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa (dua kiri) mengambil kesempatan untuk mencuba sendiri madu kelulut yang disediakan selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya 2025 di Laman Dapur dan Kelulut, Taman Botani, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 02 FEBRUARI 2025

“Saya kira ini juga (potensi) untuk beberapa komuniti di Putrajaya bergiat dalam madu kelulut,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025 di Taman Botani hari ini.

Zaliha berkata, Pelan Induk Pertanian Bandar telah dilancarkan hari ini, meliputi tiga teras dan 17 tindakan.

Pengunjung mengambil peluang untuk melawat Laman Kelulut bersempena Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya 2025 di Taman Botani, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 01 FEBRUARI 2025

Ujar beliau, pelan pembangunan itu juga membolehkan penerokaan peluang untuk pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pertanian bandar agar lebih banyak produk hiliran dapat dihasilkan dengan kualiti yang premium dan berstandard global.

“Unjuran perhasilan kepada produk-produk ini sangat tinggi. Contohnya, untuk tahun lepas kita telah berjaya menghasilkan nilai RM100,000.

“Saya kira kita akan kembangkan (pertanian bandar) kerana setakat ini terdapat 10 kebun komuniti.

“Selepas ini dalam pelan tindakan kita nanti, kita mungkin boleh kembangkan kepada setiap komuniti yang berada di Wilayah Persekutuan, khususnya Putrajaya dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk hadir ke Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025 yang berlangsung selama dua hari sehingga esok.

Bertemakan ‘Jom Bertani Komuniti Madani’ seramai 1,000 pengunjung disasarkan pada setiap hari penganjuran.

Pelbagai program menarik turut dianjurkan sepanjang dua hari ini seperti jualan hasil sayuran dan buah-buahan yang dipetik segar dari kebun komuniti Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama, HТPBKP2025 turut memperkenalkan Laman Dapur dan Laman Kelulut yang terletak di Taman Botani Putrajaya sebagai hab pengembangan pembangunan pertanian bandar dan penternakan kelulut di Putrajaya, khususnya melibatkan komuniti Putrajaya.

Selain itu, sebanyak enam pameran daripada agensi kerajaan dan swasta pula akan mempamerkan pelbagai informasi berkaitan teknologi pertanian bandar yang terkini di samping khidmat nasihat pertanian bertujuan bagi mengurangkan kebergantungan komuniti setempat terhadap sumber makanan luar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here