Empat daripada enam remaja lelaki yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya dicekup dalam Op Samseng Jalanan sekitar Bandaraya Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Enam remaja lelaki yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya dicekup dalam Op Samseng Jalanan di sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua remaja tempatan itu yang berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Katanya, menerusi operasi bermula pukul 1 hingga 5 pagi membabitkan seorang pegawai dan lapan anggota itu bertujuan membanteras aktiviti samseng jalanan dan lumba haram di beberapa lokasi hotspot sekitar bandar raya ini.

“Polis mendapati mereka mempamerkan aksi yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Menerusi operasi ini enam motosikal turut disita untuk pemeriksaan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain penunggang motosikal ditahan dan motosikal disita, kita mengeluarkan sepuluh keping saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan ubah suai struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut beliau, tindakan itu diambil bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan undang-undang serta peraturan lalu lintas.

“Kita akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti samseng jalanan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan ketenteraman awam sentiasa terjamin dan bagi mengelakkan berlakunya sebarang kecelakaan yang tidak diingini khususnya pada musim perayaan,” ujarnya.

Raub turut meminta orang awam untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti lumba haram dan samseng jalanan dengan menyalurkan maklumat melalui talian hotline IPD Johor Bahru Selatan menerusi 07-218 2222.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here