Wan Rosdy bersama rombongan Kerajaan Negeri Pahang melawat kilang pengeluar produk tenusu terkemuka Australia iaitu Goulburn Valley Creamery sempena Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang

KUANTAN – Pahang merancang menceburi projek tenusu dan penternakan ikan siakap di Australia menrusi jalinan kerjasama  dalam merancakkan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia diadakan selama lapan hari sehingga 4 Februari ini.

”Lawatan pertama delegasi ini adalah ke Mainstream Aquaculture, Werribee Victoria, Australia yang merupakan sebuah pusat penetasan dan pengeluar ikan siakap atau barramundi terbesar di dunia.

”Sesi lawatan teknikal ke Mainstream Aquaculture ini dilihat dapat membuka jalan dan potensi kerjasama bagi pembangunan penternakan ikan siakap bermula dari penetasan, nurseri, penternakan dan seterusnya pemindahan teknologi termoden ke Malaysia.” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Selain itu katanya, delegasi berpeluang melihat kerjasama pembekalan lembu baka wagyu selain memfokuskan produk tenusu dan perikanan di negara itu.

Beliau sempat menghadiri sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Syarikat AGK Dairy Fresh Sdn Bhd dengan Syarikat Austrex Co bagi menjalin kerjasama strategik pembangunan industri daging bernilai tinggi khususnya daging wagyu di Pahang.

Katanya, Austrex Co terlibat dalam pembekalan ternakan lembu baka wagyu fullblood dan F1 melalui Syarikat AGK Dairy Fresh Sdn Bhd yang dilantik kerajaan negeri Pahang sebagai syarikat peneraju bagi Projek Wagyu Pahang pada 2023 di Bukit Kajang, Raub bermula dengan 161 ekor.

Sehingga kini terdapat 284 ekor lembu wagyu di bawah Projek Wagyu Pahang.

”Saya berharap menerusi kerjasama stategik ini usaha kerajaan negeri untuk menternak lembu gred premium ini akan dapat digandakan serta merancakkan lagi industri penternakan di Pahang

”Delegasi kami melawat kilang pengeluar produk tenusu terkemuka Australia iaitu Goulburn Valley Creamery di mana kilang ini berupaya memproses 250,000 liter susu sehari dengan piawaian keselamatan makanan yang ketat,” katanya.

Lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri Pahang itu sempat melawat ladang lembu dan bebiri yang diusahakan oleh Mohd Zaki Mat Lias, seorang anak jati Temerloh yang menetap di Cobram.

Kemudiannya rombongan turut melawat Greater Shepparton, sebuah ladang lembu tenusu milik Farm Fresh Berhad berkeluasan 2,538 ekar.

Wan Rosdy berkata lawatan ke kilang dan ladang ini penting memandangkan Pahang juga merupakan antara penyumbang besar dalam pengeluaran hasilan susu menerusi syarikat tempatan seperti Farm Fresh Berhad dan Touch Milk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here