Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda

JOHOR BAHRU – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) berharap tiada sebarang bentuk intimidasi atau penindasan dilakukan terhadap 13 peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan dipanggil polis esok.

Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, kebebasan perlu diberikan kerana perhimpunan sebegitu adalah proses biasa dalam satu negara demokrasi dan jelas diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ambil maklum 13 peserta terutama terdiri daripada mahasiswa termasuk dari Sabah dan Sarawak dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung Himpunan Rakyat Benci Rasuah. Saya menyatakan solidariti penuh kepada mereka semua.

“Sungguhpun saya akui ianya sebahagian daripada tatacara biasa pihak polis selari dengan Akta Perhimpunan Aman 2012, saya berpandangan polis tidak perlu mengambil tindakan keras dan menekan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Fadhli Umar mengulangi pendirian Pemuda Amanah agar  kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat menyemak semula peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman.

Jelasnya, ini supaya selari dengan semangat amalan demokrasi dan kebebasan berhimpun seperti mana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan yang substantif terutamanya berkenaan pemberian notis perlulah dibentang dalam Parlimen selewatnya akhir tahun ini,” ujarnya.

Semalam, Penyelaras mobilisasi penganjur perhimpunan, Tobey Qi-Sean dilaporkan berkata menerima panggilan daripada polis.

Katanya, polis menyenaraikan 13 nama mahasiswa yang dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pukul 1 tengah hari esok.

Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang diadakan pada 25 Januari lalu dan mereka berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka.

Sekretariat Himpunan Rakyat Benci Rasuah menuntut kerajaan melaksanakan tiga perkara bagi memastikan politik Malaysia bersih dan bebas daripada rasuah.

Setiausaha Sekretariat, Zaim Zulkifli berkata, tiga tuntutan itu melibatkan pemisahan Jabatan Peguam Negara (AGC) daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO), membebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada kuasa eksekutif dan mewujudkan Akta Pendanaan Politik.

Menurutnya, kerajaan pada masa kini didakwa tidak komited terhadap isu berkaitan rasuah seperti dilaungkan sewaktu menjadi pembangkang dulu.

Selain itu, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah menyifatkan tindakan tersebut sebagai bacul daripada Kerajaan Madani yang kononnya telah membenarkan penganjuran himpunan berkenaan tetapi mahu juga menyusahkan kehidupan mahasiswa yang akan menghadapi peperiksaan minggu depan.

Pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang dianggap keji dan terkutuk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here