JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berputih mata selepas RM56,500 lesap gara-gara tertipu dengan tawaran pinjaman wang dalam talian pada awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang tidak berkerja dan berusia 34 tahun mendakwa ditipu sebelum membuat laporan berkenaan kes pinjaman dalam talian tidak wujud.
Beliau memberitahu, semuanya bermula pada 22 November 2024 apabila mangsa melihat dan tertarik denan iklan pinjaman wang dalam Facebook.
“Selepas berbincang, mangsa bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM250,000. Mangsa kemudian berikan maklumat diri bagi tujuan permohonan dan pada 2 Januari lalu.
“Mangsa menerima panggilan daripada nombor talian 03-76268899 yang memaklumkan permohonan pinjaman diluluskan.
“Terpedaya dengan janji manis itu, pada tarikh sama hingga esoknya, mangsa membuat 12 kali transaksi pindahan wang yang didakwa bagi tujuan bayaran insurans, menaikkan skor kredit dan bayaran yuran pemprosesan pinjaman,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, semua transaksi berkenaan dibuat ke dalam dua akaun Bank Hong Leong berbeza hingga mencecah RM56,500.
Menurut beliau, sehingga kini, mangsa masih belum menerima pinjaman yang dipohon dan menyedari bahawa dirinya telah ditipu.
Hasil semakan ujarnya, mendapati nombor telefon yang digunakan serta dua akaun bank yang terbabit masih belum mempunyai rekod penipuan setakat ini.
Siasatan awal pihaknya mendapati kes itu menyasarkan individu yang mudah terpengaruh dengan janji pinjaman wang melalui platform dalam talian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan iklan pinjaman dalam talian.
Raub menyarankan supaya melakukan semakan dahulu kesahihan iklan pinjaman melalui portal Semak Mule CCID atau rujuk dengan pihak berkuasa.
“Jangan mudah percaya dan jangan berikan maklumat peribadi atau akaun bank kepada individu yang tidak dikenali,” tegasnya.- MalaysiaGazette