Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki menyerang seorang lelaki menggunakan parang di Kampung Tengah, Kluang, semalam

KLUANG – Tular seorang lelaki warganegara Singapura dicederakan tiga lelaki dengan menggunakan parang di Kampung Tengah, di sini, semalam.

Video berdurasi 45 saat itu tular dalam media sosial memaparkan mangsa diserang menggunakan kayu serta cermin kereta dipercayai milik lelaki asing terbabit yang dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian seorang lelaki dicederakan menggunakan parang pada pukul 5.50 pagi semalam.

‘Susulan itu sepasukan anggota dari Balai Polis Kluang dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan di lokasi kejadian pukul 6.10 pagi.

“Suspek yang berusia 37 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam insiden seorang lelaki warga Singapura dicederakan menggunakan parang di Kampung Tengah pada awal pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahrin berkata, hasil semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Ujian saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine, katanya.

Menurutnya, dua lagi rakan sejenayah suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau memberitahu, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 3 Februari ini bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here