GEORGE TOWN – Penyalahgunaan gelaran akademik atau doktor falsafah (PhD) palsu semakin serius dalam kalangan masyarakat di negara ini terutamanya dalam kalangan pempengaruh (influencer) dan ahli perniagaan.
Setiausaha Eksekutif Yayasan Tamilar Kural Malaysia (YTKM), M. Kogilan berkata, trend itu bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai tetapi mencemarkan kredibiliti gelaran akademik yang sah.
“Ada segelintir individu yang membeli gelaran ‘Dr’ tanpa sebarang pengiktirafan akademik yang sah, meskipun mereka sedar gelaran tersebut tidak diiktiraf oleh mana-mana badan akademik atau pendidikan tinggi.
“Ini menjadikan gelaran tersebut hanya sebagai simbol status dan kemewahan, sedangkan gelaran ‘Dr’ sepatutnya diberikan kepada mereka yang memiliki kelayakan akademik yang sah seperti PhD atau ijazah perubatan yang diiktiraf,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Kogilan, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan Tinggi agar mengambil tindakan terhadap individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyalahgunakan gelaran tersebut.
“Penggunaan gelaran akademik yang tidak sah ini bukan sahaja salah dari segi etika profesional, tetapi juga berpotensi untuk menimbulkan isu undang-undang. Kami meminta pihak berkuasa untuk mengambil langkah yang lebih tegas dalam menangani perkara ini.
“Kita juga menggesa masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan gelaran akademik diberikan tanpa pengiktirafan yang sah.
“Masyarakat harus lebih berwaspada dan menilai kelayakan seseorang individu sebelum menerima gelaran yang mereka gunakan. Ini adalah langkah penting untuk memastikan integriti dan kredibiliti gelaran akademik di negara ini tidak tercemar,” katanya. – MalaysiaGazette