Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan bermula esok dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan berakhir pada 6 Mac depan.

Berdasarkan takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian
dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Februari ini.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari menurut takwim itu.

Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari ini.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac depan.

Dalam pada itu,  antara agenda penting pada persidangan Dewan Rakyat kali ini adalah pembentangan untuk bacaan kali kedua beberapa RUU antaranya RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024, RUU Majlis Media Malaysia 2024 serta RUU BERNAMA (Pindaan) 2024.

Selain itu, Kertas Putih Agenda Negara Menua juga akan dibentang di Dewan Rakyat yang menumpukan kepada rancangan pembangunan sosioekonomi jangka sederhana dan panjang memandangkan Malaysia menuju negara menua menjelang 2030 dan negara tua menjelang 2044. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast