KAWASAN lagun atau muara sering dianggap sebagai sistem ekosistem semula jadi yang penting di sepanjang pantai Malaysia.
Keunikan kawasan ini bukan hanya kerana keindahan alam semulajadinya, tetapi juga kerana peranannya sebagai habitat utama bagi pelbagai spesies hidupan laut, salah satunya adalah belangkas.
Namun, sayangnya, spesis belangkas kini berada dalam ancaman kepupusan akibat daripada pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemerosotan habitat semula jadi mereka.
Oleh itu, pemuliharaan kawasan lagun dan muara sangat penting untuk memastikan kelangsungan hidup spesis purba ini yang merupakan sebahagian daripada warisan alam semulajadi kita.
Bagi memastikan kelangsungan hidup belangkas, langkah pemuliharaan kawasan lagun dan muara perlu diberi perhatian serius.
Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Faridah Muhamad berkata, pemuliharaan perlu dilakukan melibatkan keseluruhan ekosistem yang berkaitan dengan habitat belangkas.
“Terdapat empat spesis belangkas yang ada di dunia dan tiga daripadanya berada di negara ini. Pemuliharaan habitat belangkas bukan sahaja melibatkan aspek perlindungan spesies ini, tetapi juga melibatkan pemeliharaan keseluruhan ekosistem yang menyokong mereka,” katanya sempena program ‘Jom Jejak Anak Belangkas’ bertempat di Marang, Terengganu.
Penganjuran itu menurutnya sebagai langkah positif yang bukan hanya memberi kesedaran tentang pentingnya habitat belangkas, tetapi juga melibatkan komuniti dalam usaha melindungi warisan alam.
“Kita juga telah memperkenalkan beberapa inisiatif dalam usaha melindungi haiwan ini dan yang terkini kita cuba usulkan kepada pihak berkuasa tempatan bagi pewartaan kawasan yang berpotensi sebagai pusat konservasi belangkas di mana ia juga boleh dikembangkan sebagai produk pelancongan negeri,” ujarnya.
Kata beliau, UMT melalui Horseshoe Crab Research Group turut terlibat dalam projek Asian Horseshoe Crab Population Survey 2024 melalui pendanaan WWF-Hong Kong dengan kerjasama IUCN Horseshoe Crab Observation Network – Malaysia Station dan hasil usahasama ini juga, penyelidik telah mengenal pasti tapak di daerah Marang ini sebagai satu nurseri belangkas yang sihat.
Tambahnya, selain usaha kerajaan, masyarakat juga perlu terlibat dalam pemuliharaan kawasan lagun dan muara dengan mengurangkan pencemaran, menghentikan aktiviti pemburuan belangkas dan menyemai rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar. – MalaysiaGazette