Oleh: Mohamad Ameruddin Malaseng & Dr Hasmahzaiti Omar
Baung ekor merah, dengan nama saintifik Hemibagrus wyckioides, ialah spesies ikan air tawar yang berasal dari lembangan Sungai Mekong, Mae Klong dan Chao Phraya di Indochina. Ikan ini berada dalam keluarga baung iaitu Bagridae dan merupakan sejenis ikan bermisai daripada order Siluriformes. Ia spesies terbesar dalam keluarga tersebut, mencapai panjang sehingga 130 sentimeter dan berat 80 kilogram.
Biasanya, ikan ini ditemukan hidup di hulu sungai yang berbatu dan berpasir, serta akan berhijrah ketika musim hujan untuk membiak. Ikan ini ialah ikan pemangsa yang memakan kebanyakan hidupan akuatik. Ia mudah dibezakan dengan ikan lain dalam keluarga Bagridae melalui sirip kaudalnya yang merah terang. Ia tidak termasuk dalam spesies terancam.
Kehadiran baung ekor merah di Malaysia bermula apabila ia diperkenalkan untuk pasaran tempatan sungguh pun negara sudah mempunyai spesies baung tempatan seperti baung sungai (Hemibagrus capitulum) dan baung kelulang (Hemibagrus wyckii). Walhasil, ia terlepas ke alam liar dan penemuan spesies ini telah dilaporkan di beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia. Namun, penyelidikan dan pengambilan data berhubung taburan spesies ini adalah terbatas.
Pada 2024, beberapa orang pengkaji, antaranya daripada Universiti Malaysia Terengganu, telah berjaya mengumpulkan data-data melalui dapatan peminat ikan di media sosial untuk mengesan sebaran ikan tersebut. Didapati bahawa penemuan baung ekor merah pertama kali dicatatkan di Pahang sebelum ditemukan di Johor pada 2020.
Setakat Ogos 2024, jumlah penemuan tertinggi adalah di negeri Selangor, Pahang dan Perak, dengan masing-masing sebanyak 34, 23 dan 21 penemuan dicatatkan. Ia didapati tertumpu di beberapa lembangan sungai termasuk Sungai Selangor, Sungai Pahang dan Sungai Perak.
Baung ekor merah dan beberapa spesies ikan pendatang lain seperti ikan bandaraya, tilapia dan keli Afrika telah disenaraikan sebagai ancaman utama kepada ekosistem air tawar di Malaysia. Oleh kerana sifatnya yang invasif, spesies asing ini tidak dibenarkan diternak di dalam sangkar untuk mengelakkan ia terlepas ke sungai.
Berbeza dengan ikan bandaraya yang diketahui dilepaskan sendiri oleh pemilik-pemilik akuarium setelah tidak mahu lagi dibela, baung ekor merah terlepas ke perairan sebahagian besarnya disebabkan faktor bencana. Banjir besar, seperti yang berlaku di Perak pada 2022, turut menyumbang kepada terlepasnya ikan ini ke habitat semula jadi.
Kejadian terbabit menyebabkan sungai tersebut tercemar dengan spesies asing. Spesies baung ekor merah diduga bersaing dengan spesies ikan tempatan seperti Bagarius lica, Hemibagrus capitulum dan Hemibagrus wyckii yang berkongsi habitat dan sumber makanan yang sama. Selain itu, pelepasan stok ikan menjadi faktor yang menyebabkan ikan ini terlepas ke perairan.
Anak baung ekor merah yang masih kecil sukar dikenal pasti kerana morfologi yang mirip dengan anak baung tempatan. Sejak akhir-akhir ini pula, dampak perubahan iklim melibatkan pemanasan global yang berlaku secara sejagat sedikit sebanyak mempengaruhi keadaan cuaca di negara kita. Keadaan hujan yang tidak menentu telah menyebabkan bencana banjir kerap melanda beberapa negeri-negeri di Malaysia.
Keadaan ini dikhuatiri mendatangkan kesan buruk terhadap sebaran ikan-ikan invasif di Malaysia. Bukan hanya terlepas dari sangkar-sangkar ternak, ikan invasif yang sudah mencemari saluran sungai sejak sekian lama berupaya tersebar ke rangkaian sungai lain melalui arus yang terhubung ketika banjir. Baung ekor merah diduga berpotensi tersebar dengan lebih luas ke lembangan-lembangan sungai terdekat seperti yang telah berlaku kepada keli Afrika.
Menurut dapatan daripada kajian yang sama, ikan ini dilaporkan belum ditemukan di negeri-negeri seperti Kedah dan Kelantan. Pada 2022 lalu, Jabatan Perikanan Malaysia telah menasihatkan orang awam untuk melupuskan ikan-ikan invasif yang ditangkap dan didapati hanyut ketika banjir agar tidak dilepaskan semula ke sungai. Beberapa spesies ikan seperti pirana, arapaima dan bawal merah disenaraikan sebagai ikan-ikan yang dilarang diimport di Malaysia.
Antara dampak baung ekor merah terhadap ekosistem air tawar di Malaysia adalah mengancam kepelbagaian biologi tempatan lantas menyebabkan kepupusan. Baung ekor merah dikatakan memakan binatang akuatik seperti ikan dan udang, serta mempunyai banyak persamaan dengan keli Afrika (Clarias gariepinus), yang sudah terlebih dahulu menjadi invasif. Kajian dan tinjauan lanjut perlu dilakukan untuk mendapatkan bukti dan memahami ciri-ciri invasif yang ada pada baung ekor merah.
Kehadiran spesies pendatang ini dikhuatiri akan menggantikan spesies sedia ada seperti baung sungai, baung kelulang dan ikan-ikan lain di perairan kita. Hal yang sama pernah berlaku kepada keli kayu (Clarias batrachus) di mana keli Afrika diperhatikan telah menghapus jejak spesies asli keli tersebut di kawasan perairan. Tindakan baung ekor merah memakan kebanyakan hidupan akuatik menurunkan populasi ikan dan udang asli termasuk udang Macrobrachium rosenbergii di habitat asal.
Selain itu, kehadiran baung ekor merah telah menjejaskan pendapatan nelayan di beberapa sungai. Di Sungai Pahang, ikan ini dilaporkan telah ditangkap dan dikatakan memangsa ikan-ikan tempatan.
Pemangsaan menjadi faktor penyumbang kepada penurunan populasi ikan tempatan selain kemusnahan habitat, tangkapan berlebihan, pencemaran lingkungan, dan perubahan iklim di sesuatu kawasan. Kehadiran baung ekor merah di sungai ini telah mengurangkan sumber ikan setempat seperti kelah, temoleh, jelawat, lampam, tengalan, kerai, terbul, sebarau dan lain-lain yang berharga bagi penduduk setempat.
Di Sungai Bernam, baung ekor merah digelar sebagai ‘serigala merah’ oleh penduduk tempatan disebabkan sifatnya yang ganas. Ia ditemukan dalam jumlah yang banyak dan bersaiz besar hingga mencecah berat 10kg. Namun, ikan ini kurang diminati kerana saiznya yang terlalu besar dan agak asing di kalangan penduduk. Jika tidak dikawal, spesies ikan sungai lain dikhuatiri akan pupus, sekaligus menjejaskan punca rezeki nelayan di sungai tersebut.
Langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan untuk melarang penternakan dan pelepasan ikan invasif seperti baung ekor merah. Spesies baung tempatan seharusnya dipromosikan sebagai alternatif yang lebih lestari dengan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang dampak negatif ikan invasif terhadap biodiversiti dan ekonomi setempat.
Kedua-dua penulis adalah dari Program Ekologi dan Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya.