Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor bagi mendengar keputusan representasi untuk menyemak pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan Abdul Matiin. Foto AIZAT ZAINAL, 6 Disember 2024. (GAMBAR FAIL).

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang dihadapi oleh kedua-dua ibu bapanya tidak cacat dan dirangka mengikut undang-undang.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh juga berpendapat, pertuduhan terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tidak menafikan peluang mereka untuk menyediakan pembelaan pada perbicaraan kelak.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan prosiding bermula petang ini dengan mendengar keterangan saksi pendakwaan pertama selepas menolak bantahan awal pihak pembelaan.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Terdahulu, peguam, Haresh Mahadevan mengemukakan bantahan awal terhadap pertuduhan atas alasan ia cacat dan tidak dibuat berlandaskan undang-undang.

Beliau berhujah, pertuduhan terhadap pasangan itu tidak memperincikan intipati kesalahan iaitu cara pengabaian  dilakukan.

“Pertuduhan yang tidak diperincikan memprejudiskan anak guam kami dan mereka tidak dapat menyediakan pembelaan pada perbicaraan.

“Dengan cara apa atau bagaimana anak guam kami mengabaikan mangsa tidak dinyatakan dalam pertuduhan?

“Pengabaian itu bagaimana? Membenarkan kanak-kanak itu melarikan diri atau membiarkannya di satu tempat tanpa pengawasan orang dewasa? Ini adalah intipati yang sepatutnya ada dalam pertuduhan pengabaian,” hujah Haresh.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz berhujah, pertuduhan itu tidak cacat kerana ia tidak memerlukan butiran terperinci dinyatakan.

Hujah beliau, pertuduhan itu akan dibuktikan melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah.

“Pada peringkat ini, tidak perlu memasukkan cara pengabaian dilakukan dalam pertuduhan,” ujar Aqharie. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here