LONDON – Kelab bola sepak Norway, Bodo/Glimt menderma pendapatan yang diperoleh daripada penjualan tiket perlawanan dengan kelab Israel, Maccabi Tel Aviv bagi kerja-kerja bantuan kemanusiaan di Gaza.
Menurut Bodo/Glimt, kelab itu berasa terkesan dengan penderitaan dan pencabulan undang-undang antarabangsa yang berlaku di tempat lain.
“Kami akan menderma semua pendapatan daripada penjualan tiket biasa pada perlawanan di tempat sendiri menentang Maccabi Tel Aviv kepada Palang Merah dan peruntukan bagi kerja-kerja bantuan di Jalur Gaza.
“Ia berjumlah NOK (Norwegian Krone) 735,000 (AS$65,000) dan didermakan semuanya daripada kami,” kaatanya menerusi kenyataan.
Pada perlawanan Liga Europa 23 Januari lalu, Bodo/Glimt menewaskan Maccabi Tel Aviv 3-1 bagi membolehkan kelab itu menduduki tempat kesembilan dengan 14 mata.
Norway di samping Sepanyol dan Ireland mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada Mei 2024.
Norway merupakan antara negara Barat pertama menggesa pelaksaan gencatan senjata di Gaza, yang mana Israel telah melakukan genosid dengan lebih 47,000 penduduk Palestin terkorban sejak 7 Oktober 2023.
Gencatan senjata yang berkuatkuasa 19 Januari lalu dilaksanakan selepas Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat menjadi pengantara dalam rundingan tersebut. – Agensi