GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang sedia mencari dana dan mendapatkan bantuan daripada tokoh budaya terkenal bagi mengadakan kursus dan memberikan pemahaman mengenai nama keluarga orang Cina kepada pemimpin dan ahli Pas.
Setiausaha DAP Pulau Pinang, Phee Boon Chee berkata, inisiatif ini diambil sebagai respons terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Pas, Ahmad Fadhli yang mengkritik saranan Profesor Dr. Mohd Tajuddin Mohd Rasdi agar Pas mengadakan kursus budaya tersebut.
Jelasnya, langkah itu juga bertujuan untuk mengatasi salah faham dan mitos yang berkaitan dengan nama keluarga masyarakat Cina, yang sering menjadi topik perbualan dalam kalangan pemimpin Pas.
“Jika Pas benar-benar memahami adat dan budaya masyarakat bukan Melayu, maka mengapa parti itu berulang kali membuat kenyataan yang salah dan menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu khususnya kaum Cina?
“Berdasarkan sejarah Pas yang celupar dan memesongkan fakta dan terbukti apabila mereka kalah saman kepada pemimpin-pemimpin DAP. Terbaru kenyataan Pengerusi Pas Perak, Razman Zakaria, mengenai latar belakang dan nama keluarga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh manakala sebelum ini, Ahli Parlimen Pas, Siti Mastura yang mengaitkan pemimpin-pemimpin DAP dengan mantan Perdana Menteri Singapura dengan pertalian komunis melalui hubungan ‘sepupu’.
“Sehubungan itu, kami bersedia mencari dana serta mendapatkan sokongan daripada tokoh budaya untuk memastikan pemimpin dan ahli Pas benar-benar memahami latar belakang budaya Cina,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, Pas kini telah menjadi sebuah parti yang tidak bertanggungjawab dalam memelihara hubungan antara kaum.
“Malah, parti itu tidak lagi bersungguh-sungguh dalam melaksanakan politik matang dan sejahtera sebaliknya bergantung kepada pembohongan, fitnah dan kecaman untuk mengekalkan pengaruh politiknya.
“Jika Pas benar-benar ikhlas mahu berubah, maka langkah pertama yang boleh diambil adalah dengan memahami asal-usul nama keluarga masyarakat Cina,” katanya. – MalaysiaGazette