Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Kenaikan premium insurans perubatan telah membawa kesan negatif kepada sistem kesihatan awam, dan kerajaan harus segera melaksanakan pelan tindakan bagi menangani masalah pesakit terpaksa menunggu sehingga 15 jam sebelum menerima rawatan akibat kekurangan peralatan dan tenaga kerja.

Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, beliau sudah berulang kali mengingatkan kerajaan sejak tahun lalu berhubung perkara ini namun, amat mendukacitakan apabila kerajaan seolah-olah tidak berdaya dalam menangani situasi ini.

Jelasnya, walaupun terdapat banyak hospital swasta namun rakyat masih memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan disebabkan isu kos rawatan.

“Peningkatan jumlah pesakit menyebabkan hospital kerajaan semakin sesak, manakala jumlah doktor dan jururawat semakin berkurang,” katanya.

Beliau mengulas laporan jurucakap kumpulan mogok doktor kontrak yang mendedahkan ada perlu menunggu sehingga 24 jam di unit kecemasan hospital kerajaan sebelum menerima rawatan.

Pada masa sama, kata Dominic, jumlah katil di kebanyakan hospital kerajaan tidak bertambah, menyebabkan hospital sering penuh, dan pesakit baharu sukar untuk dimasukkan bagi menerima rawatan.

“Sudah tiba masanya kerajaan menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem kesihatan awam. Singapura berjaya membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang baik dan menyeluruh, termasuk penjagaan kesihatan asas, rawatan hospital, penjagaan jangka panjang serta penjagaan integrasi yang lain.

“Negara kini bukan sahaja berdepan dengan kekurangan katil hospital, tetapi juga kekurangan tenaga kerja perubatan dan peralatan dan selagi jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital melebihi jumlah pesakit yang keluar, masalah kekurangan katil akan terus berulang,” ujarnya.

Tekanan ini bukan sahaja dirasai oleh petugas kesihatan, tetapi juga pekerja kebersihan hospital, yang perlu membersihkan katil hospital dalam tempoh yang lebih singkat.

“Setakat yang saya faham, bayaran hospital kerajaan yang murah, ada pesakit yang hanya mengalami demam ringan tetapi tetap mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan hospital kerajaan, menyebabkan kesesakan” tegasnya.

Masalah ini telah membelenggu sistem kesihatan awam selama bertahun-tahun, tetapi masih tiada langkah berkesan yang diambil oleh Kementerian Kesihatan untuk menanganinya.

Jelasnya, kerajaan perlu mengambil serius perkara ini dan merangka satu mekanisme yang dapat menangani isu ini dengan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here