Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dipercayai ‘transporter’ dalam insiden tembakan antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lima warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor pada 24 Januari lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai kaitan dengan bot yang menjadi sasaran kejar anggota APMM.

“Siasatan masih dijalankan kerana kita baru mengenal pasti angka-angka ini.

“Ketika ini, siasatan oleh pihak polis merangkumi beberapa aspek, antaranya di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Selain itu, siasatan turut melibatkan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, serta Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kes ini turut dikaitkan dengan penyeludupan dadah dan senjata.

Selain itu, katanya, pihak kedutaan Indonesia telah pun diberi kebenaran untuk bertemu dengan warganegara mereka yang terlibat dalam insiden itu yang kini sedang menerima rawatan di hospital. 

“Mereka ada menghubungi kita untuk mendapatkan akses untuk melawat dan kita telah benarkan, itu yang pertama.

Jelasnya, selepas beliau mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mereka bersetuju agar anggota disiasat direhatkan.

“Maritim Malaysia sendiri sedang menjalankan siasatan dalaman ke atas anggota yang terlibat. Buat masa ini, siasatan pihak polis ke atas Maritim Malaysia… dan saya baru saja mengadakan pertemuan tadi dengan Tan Sri Razarudin dan Datuk Hussein.

“Mereka bersetuju bahawa ketika siasatan oleh pihak polis… anggota yang terlibat (dalam siasatan) akan direhatkan dan siasatan kini bukan dibawah Ibu Pejabat Polis Daerah Banting tapi diambil alih ibu pejabat (Bukit Aman).

“Ini memandangkan ada potensi untuk siasatan dibuka kepada seksyen yang lebih serius,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat andaian sendiri dan memberi peluang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan profesional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here