KUALA LUMPUR – Polis berjaya membongkar kegiatan penyeludupan motosikal selepas menahan seorang lelaki menerusi Op Mega Lejang Terengganu di rumahnya di Kampung Padang Luas, Besut, Terengganu semalam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, hasil pemeriksaan di kediaman pengusaha bengkel itu menemui 11 buah motosikal Yamaha RX-Z, empat casis motosikal dan enam komponen enjin motosikal.
Kesemua barangan itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand tanpa sebarang dokumen sah.
“Suspek berusia 41 tahun yang mengaku sebagai pemilik rumah mengaku terlibat dalam kes barang disiasat,” katanya dalam kenyataan.
Hasil siasatan lanjut mendapati suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 6(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
Dalam perkembangan lain, sejumlah 30 motosikal pelbagai jenis serta 30 lelaki berusia antara 24 hingga 46 tahun telah diperiksa dalam Op Mega Lejang Terengganu yang dilaksanakan sepanjang tempoh 1 hingga 31 Januari lalu. – MalaysiaGazette