KUALA LUMPUR – Pelakon veteran ternama, Datuk Jalaluddin Hassan sedia memberi kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan syarikat perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky.
Mengaku terkejut dengan perkembangan terbaharu itu, Jalaluddin berkata, pihak syarikat perunding kewangan tersebut telah memberi jaminan dia dan ua lagi selebriti lain tidak terbabit dalam isu tersebut.
“Tiada masalah, kami boleh kerjasama. Setakat ini, belum ada apa-apa lagi.
“Pengasas syarikat perunding kewangan berkenaan beritahu, saya selaku duta tidak terkesan apa-apa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Bulan Bintang Sedekad Menyinar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam tadi.
Ujarnya, sehingga kini SPRM belum menghubunginya lagi.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, dia hanya enjalankan tugas sebagai duta berdasarkan kontrak yang telah dipersetujui.
Tambahnya, tiada sebarang aktiviti mencurigakan sepanjang bergelar duta kepada syarikat pengurusan kewangan berkenaan.
“Saya hanya duta sahaja untuk hasilkan video dan mempromosikan syarikat. Itu sahaja tugas saya dan tidak lebih daripada itu.
“Bila saya tanya mereka kedudukan kewangan sejak dahulu hingga kini, semuanya puas hati dan tiada mencurigakan,”katanya lagi.
Sebagai rekod, Jalaluddin antara selebriti yang disebut bakal dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.
Ops itu merupakan usaha SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank.
Selain, Jalaluddin dipilih menjadi salah seorang duta syarikat sejak setahun lalu bersama angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain.
Sementara itu, Ziana Zain ketika ditemui selepas tamat program realiti, Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) peringkat separuh akhir di Studio TV3, Glenmarie semalam, enggan mengulas lanjut perkara itu.
“Tiada komen, saya hanya menyanyi sahaja,” katanya ringkas.-MalaysiaGazette