Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan jualan ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu ke-15 berturut-turut, walaupun kadar aliran keluar perlahan kepada RM503.3 juta minggu lalu berbanding minggu sebelumnya RM701.4 juta.

Pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan Isnin mengalami aliran keluar terbesar sebanyak RM265.9 juta.

MIDF Research berkata, hari Selasa dan Jumaat, aliran keluar masing-masing berjumlah RM196.9 juta dan RM40.5 juta.

Tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM38.1 juta), REIT (RM2.3 juta) dan telekomunikasi & media (RM1.9 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi ialah utiliti (-RM256.9 juta), hartanah (-RM63.3 juta), dan produk dan perkhidmatan perindustrian (-RM50.1 juta).

Sebaliknya, pelabur institusi terus menyokong bursa tempatan selama 15 minggu berturut-turut, dengan pembelian bersih berjumlah RM149.4 juta dalam ekuiti domestik.

Mereka melakukan pembelian bersih pada dua daripada tiga hari dagangan minggu lepas, menamatkan aliran masuk hari dagangan berturut-turut selama 48 hari, dengan aliran keluar sebanyak RM37.9 juta pada hari Jumaat.

Pelabur runcit tempatan melanjutkan aliran belian kepada empat minggu berturut-turut di Bursa Malaysia, dengan peningkatan pembelian bersih sebanyak RM353.9 juta dalam ekuiti, 2.36x lebih tinggi daripada aliran masuk minggu sebelumnya.

Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan secara menyeluruh minggu lepas.

Pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak –15.9% manakala institusi tempatan dan peruncit tempatan masing-masing sebanyak –25.7% dan –15.4%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here