KUALA SELANGOR – Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda sebanyak RM1,000 dan penjara sebulan selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh kediaman dan mencederakan warga emas, di sini, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Shamsul Atin mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan juru bahasa di hadapan Majistret Siti Hajar Ali, di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, Shamsul, 34, didapati dengan sengaja menceroboh rumah milik seorang warga emas, Kamsiah Sharif, 77, di Jalan Pari 1, Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, di sini, kira-kira jam 3 petang, 28 Januari lalu.
Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsul dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Kamsiah dengan menumbuk di bahagian mata sebelah kiri menggunakan tangan sebanyak sekali.
Tertuduh juga menumbuk di bahagian mulut sebelah kiri warga emas itu menggunakan tangan kanan sebanyak sekali di alamat, masa dan tarikh sama.
Kesalahan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Shamsul, yang mengenakan pakaian lokap berwarna ungu diiringi anggota polis tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Selangor, di sini, kira-kira jam 8.15 pagi tadi.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan.
Terdahulu peguam Khairul Hazwan Rashid merayu agar anak guamnya diberikan hukuman denda paling minimum sahaja.
Menurutnya, ini kerana tertuduh tidak mempunyai pekerjaan, masih bujang serta perlu menjaga ibu yang sakit tua.
Majistret kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000, jika gagal bayar, tiga bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap. – MalaysiaGazette