KUANTAN – “Kalau saya pertama kali datang ke sini, mungkin tidak akan kembali lagi”.
Itu luahan hampa seorang pengunjung yang bercuti bersama keluarganya ketika ditemui MalaysiaGazette di Pantai Cherating di sini hari ini.
Menurut Zunaidi Misnah, 53, kali terakhir dia berkunjung ke sini adalah 15 tahun lepas di mana suasana pantainya meriah dengan aktiviti pantai serta kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Tapi sekarang, saya tengok Cherating macam ketinggalan dan terkebelakang. Selain pemandangan pantai sudah tak menarik, saya amati tiada pengawal pantai yang menjaga keselamatan di sini.
“Agak bahaya kalau ada keluarga yang nak bawa anak-anak mandi pantai,” kata Zunaidi yang berasal dari Danau Kota, Kuala Lumpur.
Katanya, dia bersama isteri, Nonarita Misbah, 52 serta tujuh anak dan menantu terpaksa menyewa di sebuah rumah inap di sekitar Sungai Ular yang terletak kira-kira 10 minit daripada Pantai Cherating sepanjang dua hari satu malam percutian mereka.
Ia berikutan keadaan yang gelap di sekitar pantai pada waktu malam yang menimbulkan kerisauan mengenai tahap keselamatan selain kurang pilihan premis perniagaan makanan di sini.
“Apabila kami ke pantai ni, rasa hampa sebab pemuliharaan kedai pun tidak dilakukan. Gelap dan pilihan chalet di sini pun sudah tak menarik,” tambahnya.
Sementara itu, seorang pengusaha tapak parkir kenderaan, Abu Talib Ali, 61 mendedahkan, semakin ramai peniaga makanan menutup perniagaan mereka ekoran terpaksa menanggung kerugian berlarutan.
Jelasnya yang mesra disapa Pak Abu, ketiadaan tarikan pelancongan di sekitar Cherating mengakibatkan kekurangan pengunjung yang menyebabkan peniaga tidak dapat menampung kos untuk meneruskan perniagaan mereka.
“Tolonglah kerajaan negeri dan pihak-pihak berkaitan beri tumpuan sikit kepada kami di Pantai Cherating ini. Macam ini masih cuti sekolah, tiada orang pun datang.
“Walaupun masa mula-mula cuti sekolah hari itu pun saya duduk sorang-sorang sini. Takda orang. Tiada siapa nak berniaga kalau rugi,” luahnya sedih.
Menurut Pak Abu, dia hanya mengutip kurang daripada RM30 sehari melalui bayaran parkir di sini semasa hari bekerja namun ia tidak jauh berbeza walaupun ketika musim cuti persekolahan.
Lebih menyedihkan, dia terpaksa menutup kedai makan yang dibuka bersama isterinya di sini sejak empat tahun lepas kerana tidak mampu menanggung kerugian. – MalaysiaGazette