KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan di Jalan Hulu Langat-Ampang dalam kejadian 4.45 petang semalam.
Mangsa dikenalpasti sebagai Aysar Zahran Saiful Alimin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian itu empat buah motosikal serta sebuah motokar daripada arah Hulu Langat menghala ke Ampang.
Semasa melalui Jalan Hulu Langat – Ampang sebuah kereta yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh kelima-lima kenderaan menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak dan jatuh ke tepi jalan.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang motosikal seorang lelaki Melayu, berumur 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima lagi penunggang dan pembonceng motosikal yang lain di bawa ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan.
“Pemandu kedua-dua motokar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kesemua mereka yang terlibat kemalangan berumur antara 17 hingga 38 tahun.
Kes disiasat dibawah Sek. 41(1) APJ 1987. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Insp Narolhisyam Bin Endi di talian 019-5897115.
Naazron berkata, kereta Perodua Alza itu akan dihantar untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia dan pemandu berusia 27 tahun akan direman pagi ini.
Dalam pada itu, TYMBA Education memaklumkan, Allahyarham merupakan penerima biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di TYMBA.
Allahyarham meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023. – MalaysiaGazette