KUANTAN – Polis menerima 60 laporan sebuah koperasi berhubung salah guna aset dan pecah amanah membabitkan kakitangan pengurusan terdahulu pada 2023 dan 2024.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya telah merujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung perkara tersebut semalam danĀ kes tersebut dirujuk kepada polis Kemaman, Terengganu berdasarkan lokasi kejadian.
Semalam, kira-kira 20 ahli koperasi terlibat membuat laporan di Ibu Pejabat Pois Daerah (IPD) Kuantan mendakwa terdapat salah guna aset dan pecah amanah membabitkan kakitangan pengurusan syarikat terdahulu.
Salah seorang daripada mereka yang ingin dikenali sebagai ‘Cik Kiah’ berkata, selain pembelian saham syarikat, ahli koperasi terbabit turut ditawarkan pelaburan tempahan emas yang menjanjikan pulangan satu hingga tiga peratus daripada jumlah pelaburan.
Tertarik dengan tawaran itu, Che Kiah telah melaburkan RM100,000 bagi tujuan pembelian saham dan RM520,000 untuk tempahan emas sejak 2021.
Bagaimanapun, wanita itu mendakwa hanya menerima sekali dividen pelaburan pada tahun tersebut dan pulangan berjumlah RM60,000 bagi tempahan emas dalam tempoh sembilan bulan pertama sahaja.
“Baru-baru ni pihak pengurusan baru ada memberi penyata kewangan yang menyatakan kena tolak balik dividen yang dibayar pada tahun 2023 iaitu pembayaran dividen bagi tahun 2022.
“Ditolak balik daripada syer saham kami kerana katanya ada manipulasi kenyataan oleh pengurusan lama,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Che Kiah merupakan pesara kerajaan memberitahu, beliau telah menggunakan wang persaraan dan simpanan Tabung Haji bagi membuat pelaburan itu. – MalaysiaGazette