Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Sambutan Tahun Baru Cina ACCCIM di Shangri-la Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terhadap pekerja asing akan ditetapkan kepada 2.0 peratus, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, pelaksanaan sebanyak 2.0 peratus itu lebih rendah berbanding cadangan terdahulu sebanyak 12 peratus.

“Cadangan awal adalah 12 peratus, tetapi Kabinet telah mengambil pelbagai pertimbangan. Oleh itu, kami memutuskan untuk mengekalkannya kepada 2.0 peratus buat masa ini, dan kami akan menunggu sehingga keadaan bertambah baik.

“Pada ketika ini, kami akan mengekalkan kadar 2.0 peratus dan meneruskan keputusan tersebut,” katanya dalam ucapan ketika hadir Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) hari ini.

Anwar sebelum ini ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan komited untuk memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warga negara untuk mencarum KWSP dan cadangan itu akan dilaksanakan secara berfasa.

Sebelum ini, Ketua Penyelidik DM Analytics, Dr Zouhair Rosli berkata, potongan itu selaras dengan piawaian antarabangsa iaitu ketetapan Artikel 68, Konvensyen 102 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) bermaksud hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara, yang juga digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Menurutnya, banyak negara sudah melaksanakan dasar itu baik negara-negara membangun apatah lagi negara-negara maju.

India antaranya yang mengenakan caruman 11 peratus untuk majikan dan pekerja, Thailand pada kadar sekitar lima peratus, Australia pula pada 12 peratus, Jerman pada sembilan peratus, dan Perancis antara yang tertinggi pada 18 peratus.

Malah Zouhair turut berkata, pelaksanaan caruman wajib KWSP terhadap pekerja asing boleh menjadi mekanisme jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja dari luar.

Dengan mewujudkan kesaksamaan dalam penggajian dan perlindungan sosial, pasaran kerja akan lebih memihak kepada pekerja warga tempatan sekali gus memperkasakan mereka untuk memacu industri negara dengan lebih jitu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here