Oleh: Zaiton Din
BULAN Syaaban memiliki keistimewaan yang tersendiri di sisi Rasulullah SAW. Baginda SAW menghadapi bulan ini dengan melipat gandakan amalan terutamanya puasa sunat. Dalam sebuah hadis Riwayat Al-Bukhari, Saidatina Aisyah RA pernah memberitahu Abu Salamah RA bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak daripada bulan Syaaban.
Baginda berpuasa bulan Syaaban seluruhnya. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah, “seluruhnya” dalam konteks bulan Syaaban merujuk pada Rasulullah SAW berpuasa sebahagian besar daripada keseluruhan bulan Syaaban. Bulan Syaaban juga bukan hanya untuk puasa sunat, tetapi dapat digunakan untuk qadha puasa yang ditinggalkan dalam bulan Ramadan sebelum ini.
Saidatina Aisyah RA menjelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bermaksud: “Aku mempunyai hutang puasa wajib di bulan Ramadan, aku tidak dapat qadha atau menggantikan puasa tersebut kecuali di bulan Syaaban”.
Sebagai umat yang mencintai Nabi Muhammad SAW, seharusnya kita mengikuti praktik Baginda SAW dengan meningkatkan amalan puasa sunat pada bulan Syaaban. Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 31: “Katakanlah, wahai Muhammad: “Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Ingatlah, Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang”.
Keutamaan bulan Syaaban diperkaya dengan kehadiran malam Nisfu Syaaban atau malam pertengahan bulan Syaaban. Keistimewaan malam ini dinyatakan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban yang bermaksud: Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Allah SWT melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah SWT akan memberikan pahala kepada seluruh hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang berzina”.
Allah SWT juga memberikan ampunan kepada hamba-Nya yang meminta ampun pada malam tersebut, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-As yang bermaksud: “Allah SWT memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah”. [Hadis Riwayat Ahmad]
Al-Imam al-Syafi’i pula pernah menukilkan dalam kitab al-Umm yang bermaksud: “Telah sampai kepada kami bahwasanya selalu dikatakan bahawa permohonan akan dikabulkan dalam lima malam, iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidil Adha, malam hari raya Aidil Fitri, awal malam di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban”.
Meskipun tidak ada amalan khusus pada malam Nisfu Syaaban, kita disarankan untuk melaksanakan ibadah wajib dan sunat dengan berlandaskan Al-Quran dan Hadis, seperti membaca al-Quran, berzikir, dan melaksanakan solat tahajud. Namun, sayangnya, kemuliaan bulan Syaaban tidak selalu dirasakan oleh umat Islam. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahwa banyak orang yang lalai dan acuh tak acuh terhadap kedatangan bulan Syaaban. Gambaran ini disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis daripada Usamah bin
Zaid RA berkata: “Aku bertanya Rasulullah SAW tentang Syaaban kerana aku tidak pernah lihat
Baginda banyak berpuasa sunat sebagaimana Baginda berpuasa pada Syaaban”. Baginda menjawab: “Bulan yang banyak manusia yang lalai dan bulan tersebut adalah di antara Rejab dan Ramadan. Pada Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah SWT. Dengan itu, aku amat suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa.” [Hadis Riwayat Ahmad dan An-Nasai]
Ibnu Rajab Al-Hambali dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan bahawa bulan Syaaban terselindung di antara dua bulan yang penting iaitu bulan Rejab dan bulan Ramadan. Kelebihan yang ada pada kedua-dua bulan tersebut menyebabkan orang ramai berlumba-lumba membuat amal kebaikan sehingga mengabaikan bulan Syaaban.
Oleh yang demikian, kita haruslah mengambil kesempatan dalam bulan Syaaban ini mempertingkat amalan terutamanya berpuasa sunat sebagai persiapan menjelang bulan Ramadan. Selain itu, salah satu hikmah di sebalik saranan berpuasa pada bulan ini adalah kerana amalan kita diangkat oleh Malaikat kepada Allah SWT pada bulan ini. Kita berdoa agar Allah SWT menjadikan kita termasuk dalam golongan orang yang beriman dan selalu taat kepada-Nya. Amin.
Penulis adalah Pensyarah ACIS UiTM Cawangan Pulau Pinang