TANJONG KARANG – Kerajaan Negeri diingatkan tidak menganaktirikan Parlimen Tanjong Karang khususnya Kampung Sawah Sempadan sebagai destinasi pelancongan luar bandar dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025.
Pengerusi Agro Pelancongan Sawah Sempadan (APSS), Prof Dr Sidek Ab Aziz berkata, masih banyak ‘permata tersembunyi’ yang berpotensi diketengahkan yang mampu untuk menarik kedatangan para pelancong ke negeri ini.
“Terdapat produk agro pelancongan yang belum diketengahkan, sedangkan ia berpotensi menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
“Kalau kita tengok Ban Kenal, satu-satunya terusan di dalam Sawah Sempadan, sudah pun menjadi tarikan kepada pelancong tempatan.
“Ini kerana keunikan flora dan fauna masih terpelihara di sepanjang terusan itu yang bersebelahan dengan Hutan Simpan Raja Musa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Denai Desa, di sini, hari ini.
Sidek yang juga bekas Dekan Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sudah sampai masanya kerajaan menggalakkan penduduk setempat memanfaatkan terusan itu sebagai sumber ekonomi baharu.
“Kerajaan Negeri perlu membenarkan pengusaha bot untuk membawa para pelancong menelusuri terusan Ban Kenal untuk melihat sendiri khazanah alam yang mampu memukau pandangan orang ramai,” katanya.
Selain terusan, dengan sokongan 45 pengusaha inap desa di sini, pihaknya bersedia menerima kebanjiran orang ramai dengan kemudahan penginapan yang selesa sekiranya Ban Kenal menjadi salah satu produk agro pelancongan di Selangor.
“Kita nak majukan ekonomi orang kampung terutama petani-petani di Kampung Sawah Sempadan dan kawasan sekitarnya yang banyak mengusahakan inap desa.
“Kita akan cuba buat kertas cadangan yang agak komprehensif untuk kita bangunkan Ban Kenal sebagai pusat ekonomi baharu di Sawah Sempadan.
“Di luar negara ada sungai dan tasik yang boleh dibangunkan untuk tingkatkan pendapatan orang kampung dan anak muda.
“Alangkah ruginya kita tidak manfaatkan tempat-tempat yang telah menjadi perhatian pelancong tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette