Seorang lelaki warga Indonesia maut, rakannya cedera dalam sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur di Pulau Carey, pagi tadi. Foto APMM Selangor

Oleh: Prof. Madya Dr.Mohd Hazmi Mohd Rusli

BARU-baru ini, Kedutaan Malaysia di Jakarta telah dilempar dengan telur oleh sekelompok penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa Malaysia yang telah mengambil tindakan terhadap warga Indonesia yang dipercayai cuba menyeludup keluar dari Malaysia di perairan Tanjung Rhu, Banting. Akibatnya, seorang warganegara Indonesia terkorban dan empat lagi tercedera.

Adakah pihak berkuasa Malaysia berhak mengambil tindakan sedemikian demi menjaga keutuhan wilayah kedaulatan negara dari diganggu gugat pihak asing? Akankah perlakuan penunjuk perasaan yang melempar telur ke bangunan kedutaan Malaysia di Jakarta merosakkan hubungan baik dua negara serumpun ini?

Sejarah Hubungan Malaysia–Indonesia
Hubungan antara Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah yang panjang serta penuh dengan dinamika, termasuk kerjasama erat dan juga ketegangan dari segi politik, ekonomi, dan batas wilayah. Walaupun kedua-dua negara berkongsi banyak persamaan dari segi budaya, bahasa, dan etnik, terdapat beberapa isu yang pernah mencetuskan ketegangan.

Sebelum mencapai kemerdekaan, wilayah yang kini dikenali sebagai Malaysia dan Indonesia pernah berada di bawah pengaruh kerajaan besar seperti Srivijaya, Majapahit, dan Kesultanan Melaka. Ketika zaman penjajahan, Indonesia dijajah oleh Belanda, manakala Malaysia berada di bawah pemerintahan British.

Indonesia mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945 manakala Persekutuan Tanah Melayu menjadi negara berdaulat pada 31 Ogos 1957. Hubungan kedua-dua negara ini mula keruh apabila Malaysia dibentuk pada tahun 1963.

Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1963-1966)
Presiden pertama Indonesia, Sukarno telah menentang keras pembentukan Malaysia tetapi setelah Suharto mengambil alih tampuk pemerintahan, hubungan diplomatik telah terjalin semula. Sejak tahun 1966, Malaysia dan Indonesia telah menjalin hubungan baik yang berkekalan sehingga kini.

Namun, laungan ‘Ganyang Malaysia’ masih lagi terngiang-ngiang dan digunakan oleh sebahagian rakyat Indonesia yang mudah terprovokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Cabaran dan perselisihan
Ini bukan pertama kali Kedutaan Malaysia ‘diserang’ segelintir kecil rakyat yang tidak berfikir panjang. Sebelum ini, pada tahun 2009, terdapat pihak di Indonesia yang meniup api kemarahan dan fitnah yang mengatakan Malaysia ‘mencuri’ budaya Indonesia mengakibatkan adanya usaha ‘sweeping’ rakyat Malaysia di Jakarta.

Protes yang sama berlaku pada tahun 2010 dan 2011 di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia yang muncul akibat pertelingkahan wilayah dan isu pekerja migran Indonesia yang dikatakan dianiaya di Malaysia.

Adakah Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa?
Malaysia tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang antarabangsa kerana pihak berkuasa hanya mengambil tindakan terhadap penceroboh yang masuk atau keluar melalui perairan negara tanpa memiliki dokumen yang sah.

Pihak berkuasa Malaysia cuma menguatkuasakan apa yang dibenarkan di bawah undang-undang domestiknya bagi menjaga keutuhan wilayah negara. Perkara yang sama akan dilakukan oleh pihak berkuasa mana-mana negara sekalipun sekiranya terdapat pencerobohan yang dilakukan oleh rakyat asing.

Demonstrasi memburukkan hubungan Malaysia-Indonesia?
Tunjuk perasaan dan tindakan melempar telur ke Kedutaan Malaysia ini dilakukan oleh segelintir kecil rakyat Indonesia dan bukan mencerminkan pandangan rakyat serta kerajaan Indonesia secara keseluruhannya. Malah Presiden Indonesian, Prabowo Subianto telah menegaskan bahawa beliau percaya pihak Malaysia akan melakukan siasatan sebaiknya mengenai peristiwa tersebut.

Meletakkan protes ini ke tepi, kini, hubungan Malaysia-Indonesia kekal positif dan semakin kukuh, walaupun masih terdapat beberapa cabaran. Tunjuk perasaan sehingga telur dilemparkan ke bangunan Kedutaan Malaysia ini adalah suatu yang tidak patut dilakukan oleh bangsa yang dianggap besar dan bertamadun.

Tidak ada yang tidak boleh diselesaikan mengikut jalan perbincangan dan diplomasi.

Hubungan antara Malaysia dan Indonesia mencerminkan hubungan unik antara dua negara serumpun yang berkongsi sejarah, bahasa, dan budaya dan perlu dikekalkan demi menjaga kestabilan bukan sahaja rantau Asia Tenggara, malah dunia secara amnya.

Penulis adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia serta akademik pelawat di Pusat ASEAN, Universiti MGIMO, Moscow, Rusia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here