KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya memperhalusi desas-desus mengenai kenaikan tarif asas elektrik yang dijangka berlaku pada Julai ini.
Ini kerana banyak lagi yang bakal berlaku pada bulan tersebut seperti penyelarasan subsidi RON95, kenaikan tarif air dan perluasan skop cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap banyak lagi barangan, kata Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan.
Menurutnya, perkara itu akan menyebabkan rakyat terus terhimpit dengan pelbagai tekanan ekonomi ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin melonjak.
Beliau berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan keuntungan bersih RM1.58 bilion, meningkat hampir dua kali dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 30 September 2024, daripada RM856.20 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
“Ini belum dicampur dengan keuntungan pada suku keempat 2024. Bermakna, dengan tarif sekarang ini pun, TNB mencatat keuntungan berbillion ringgit. Jadi, apa alasan mahu meningkatkan tarif?
“Kedua, Perdana Menteri menjelaskan kenaikan tarif hanya melibatkan industri bukan rakyat 85 peratus. Namun, ‘golongan maha kaya’ bakal menerima kenaikan tarif iaitu 15 peratus.
“Penting untuk dihadam kesan kenaikan tarif elektrik bakal membawa kesan domino yang menyebabkan harga barangan dan makanan akan naik. Yang menerima tempiasnya adalah 100 peratus rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Shahir berkata, menurut Ketua Pegawai Kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Nazmi Othman pada Disember lalu, tiada sebarang kenaikan tarif elektrik kepada 85 peratus pengguna domestik sehingga 30 Jun tahun ini.
Ini bermakna, kata beliau, tarif elektrik bakal naik pada 1 Julai 2025 dan ia baru diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dicadang dilaksanakan mulai 1 Julai depan.
Tarif asas menerusi RP3 antara 2022 dan 2024 ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.
Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada Disember lalu, dilaporkan berkata, sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menafikan dakwaan tarif asas elektrik di Semenanjung akan meningkat 14 peratus pada Julai.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan menjelaskan kenaikan tarif elektrik tetap akan berlaku dengan kadar bakal ditetapkan selepas semakan semula nanti.
Ketetapan itu, katanya, perlu dibuat memandangkan kenaikan kadar tarif elektrik perlu berlaku, berpandukan kapasiti dan harga pada tempoh tertentu. – MalaysiaGazette