PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, mayat ‘orang hilang’ ditemukan di tebing laluan anak sungai berdekatan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini lebih setahun lalu.
Mayat tersebut ditemukan berhampiran takungan air dalam keadaan berpakaian lengkap dengan lencana sekolah manakala terdapat kecederaan di tangan kanan dan luka di telinga kiri.
Penemuan itu disahkan oleh seorang jurugambar polis berdasarkan gambar-gambar yang dirakam di kawasan kediaman itu ketika siasatan kes orang hilang awal Disember 2023.
Sementara itu, mahkamah turut diberitahu, polis menerima laporan daripada Ismanira Abdul Manaf berkaitan kehilangan anaknya yang merupakan kanak-kanak autisme pada 5 Disember 2023.
Terdahulu, Koperal Sulaimen Razak, 42, ketika memberi keterangan bagaimanapun tidak memberitahu identiti `orang hilang’ pada pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Mahkamah sedang mendengar perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira, 30, yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin.
Mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pada prosiding itu, Sulaimen berkata, dia diarah oleh Pegawai Penyiasat kes `orang hilang’, Asisten Superintendan Mohd. Hafizee Ismail supaya merakam gambar di kediaman tersebut.
Menurut saksi pendakwaan kedua (SP2), dia merakam kesemua gambar kira-kira pukul 10 malam, 6 Disember 2023.
Antara gambar itu termasuk persekitaran Apartmen Idaman, laluan ke anak sungai di tepi blok berkenaan, laluan kawasan semak ke anak sungai serta gambar-gambar muka dan tubuh mangsa.
Sulaimen turut berkata, dia kemudian diarah kali kedua oleh pegawai penyiasat untuk ke lokasi sama pada 11 Disember 2023.
Menurut saksi, dia tiba bersama-sama pasukan forensik dan merakam gambar persekitaran termasuk stor barang di apartmen itu kira-kira pukul 12 tengah malam.
Katanya, antara gambar yang dirakam termasuk stoking yang ditemukan di atas tebing tepi longkang.
Sementara itu ketika disoal balas oleh peguam Haresh Mahadevan, saksi berkata, dia merakam berjumlah 132 keping gambar ketika siasatan kes ‘orang hilang’.
Menjawab soalan peguam, saksi tidak pasti sama ada tempat mangsa dijumpai adalah tempat awam namun menyatakan ia berpagar.
Saksi juga tidak pasti sama ada polis perlu mendapat kebenaran untuk memasuki kawasan itu.
Anggota berkenaan juga tidak pasti sama ada tempat mayat ditemukan boleh diakses oleh semua orang.
Pada sesi petang, mahkamah turut mendengar keterangan anggota polis menerima laporan maklumat pertama (FIR) kehilangan seorang kanak-kanak autisme yang dibuat oleh ibunya, Ismanira.
Koperal Nurul Khairina Mohammad Zuki, 35, berkata, laporan itu diterima pukul 5.45 petang, 5 Disember 2023 ketika bertugas di Balai Polis Sri Damansara.
Saksi pendakwaan ketiga (SP3) berkata, Ismanira menyatakan anak lelaki hilang kira-kira pukul 12 tengah hari ketika menaiki tangga blok rumah mereka.
“Pengadu berkata, ketika itu dia memegang banyak barang dan anaknya memberontak sebab kemahuannya tidak diikuti sebelum menyedari kanak-kanak itu tiada di belakangnya. Anaknya tidak boleh bertutur,” ujarnya.
Ketika disoal balas oleh Haresh, saksi bersetuju bahawa Ismanira telah mencari anaknya bersama jiran-jiran sebelum membuat laporan polis.
Bagaimanapun, saksi tidak bersetuju bahawa Ismanira kelihatan risau ketika membuat laporan polis.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – MalaysiaGazette