Mayat wanita ditemukan di dalam kenderaan berkunci yang diletakkan di kawasan parkir Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor awal pagi hari ini.

KUALA SELANGOR – Seorang wanita ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dalam kenderaan yang berkunci di kawasan parkir Pantai Remis, Jeram, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, mayat itu dijumpai dalam kereta Proton Saga berwarna kelabu dalam keadaan berkunci.

“Polis menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 2 pagi daripada anggota Unit Kereta Peronda (MPV). Pintu kereta kemudian dibuka oleh anggota bomba untuk mengeluarkan mayat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azaharudin, siasatan awal mendapati, mangsa sebelum ini dilaporkan sebagai orang hilang susulan berkaitan dengan laporan polis di Damansara pada 31 Januari lalu.

“Kali terakhir wanita itu dilihat ahli keluarganya pukul 10 pagi pada 29 Januari lalu. Pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan fizikal atau unsur jenayah.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, media melaporkan, mangsa dikenali Yong Jia Yein, 34, gagal dihubungi selepas dia memandu kereta Proton Iswara keluar dari kediamannya di Apartmen Pelangi Utama di Petaling Jaya pada 29 Januari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussein Sulehuddin Zolkifly dilaporkan berkata pihak polis menerima laporan kehilangan Jia Yein daripada keluarganya pada jam 12:36 pagi, Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here