KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat swasta kerugian RM2,118,810 selepas diperdaya dengan pelaburan tidak wujud melibatkan mata wang kripto anjuran syarikat Digzax Exchanger.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa telah melihat iklan di Facebook berkenaan satu pelaburan tersebut pada Ogos lalu.
Kemudian mangsa tertarik dengan tawaran itu, lalu berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan mendaftar di laman web Digzax melalui link (https://www.digzaxj.com/#/).
“Mangsa telah membuat 26 transaksi ke dalam 11 akaun berbeza berjumlah RM2,118,810 kerana telah dijanjikan keuntungan lumayan.
“Selepas pindahan wang dilakukan, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan dijanjikan.
“Sebaliknya mangsa diminta suspek untuk membayar cukai berjumlah RM1.2 juta bagi mengeluarkan keuntungan daripada platform tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hussein berkata, sindiket menggunakan modus operandi dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pelaburan di aplikasi media sosial Facebook.
Sehubungan itu polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan setelah mangsa membuat laporan polis di Kajang.
“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor telah menerima satu laporan polis di Kajang berkaitan kes penipuan pelaburan tidak wujud, melibatkan seorang lelaki warga Cina berumur 77 tahun,” katanya.
Hussein turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.
“Lebih-lebih lagi melibatkan aplikasi kewangan dan pelaburan tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette