KUANTAN – Polis telah merakam keterangan Faridah Daud berhubung dakwaan beliau bakal melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah tahun lepas.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya berjaya mengesan wanita berusia 38 tahun itu di Manjung, Perak bulan lepas.
“Kertas siasatan kini dalam fasa akhir untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Menurut Yahaya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 15 Disember lalu, polis mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes susulan hantaran yang dimuat naik pengguna bernama ‘Faridah Daud’ (faridah.daud_l) di laman Instagram mendakwa sedang merancang majlis perkahwinan diraja terbabit. – MalaysiaGazette