PELANCONGAN mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism) semakin mendapat perhatian di peringkat global, termasuk di Malaysia, yang sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, keindahan alam semula jadi, dan keselarasan nilai Islam. Konsep pelancongan mesra Muslim merangkumi penyediaan perkhidmatan dan kemudahan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim, termasuklah penyediaan makanan halal, ruang solat, serta aktiviti pelancongan yang mematuhi syariat Islam. Ia bukan sahaja bertujuan untuk memudahkan pelancong Muslim tetapi juga memberi peluang kepada negara untuk mengetengahkan nilai-nilai Islam dalam sektor pelancongan secara harmoni.
Trend pelancongan mesra Muslim kini menunjukkan pertumbuhan yang pesat. Menurut laporan Global Muslim Travel Index (GMTI) 2024, jumlah pelancong Muslim di seluruh dunia dijangka mencecah 230 juta menjelang tahun 2028, dengan sumbangan ekonomi melebihi AS$300 bilion. Berdasarkan dapatan GMTI ini, Malaysia secara konsisten berada dalam kedudukan pertama sebagai destinasi mesra Muslim terbaik dalam menyediakan kemudahan serta perkhidmatan yang memenuhi kehendak pelancong Muslim. Kedudukan Malaysia ini telah sekian lama lebih baik daripada negara-negara Arab dan negara Islam serantau, hasil daripada usaha berterusan kerajaan dan industri pelancongan terutamanya Islamic Tourism Centre (ITC) sebagai agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Di Malaysia, statistik menunjukkan peningkatan pelancong Muslim dari Timur Tengah, Indonesia, dan Asia Selatan, yang sering memilih negara ini sebagai destinasi utama. Data Tourism Malaysia pada tahun 2022 melaporkan bahawa pelancong Muslim menyumbang kira-kira 30% daripada jumlah keseluruhan pelancong antarabangsa. Malaysia menjadi pilihan utama bukan sahaja kerana statusnya sebagai negara Islam, tetapi juga kerana kemudahan seperti restoran halal yang meluas, akses mudah ke ruang solat di pusat beli-belah, lapangan terbang, dan destinasi pelancongan, serta promosi festival Islam seperti Ramadan dan Aidilfitri.
Keistimewaan pelancongan mesra Muslim di Malaysia juga terletak pada keunikan elemen budayanya. Keindahan seni bina masjid seperti Masjid Kristal di Terengganu dan Masjid Merah Jambu di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menarik pelancong dari seluruh dunia. Selain itu, program seperti lawatan ke pasar tradisional Melayu dan pameran seni Islam menawarkan pengalaman yang mendalam kepada pelancong Muslim dan bukan Muslim untuk mengenali keindahan budaya Islam.
Tambahan pula, destinasi semula jadi seperti Pulau Langkawi dan Taman Negara yang menawarkan aktiviti mesra Muslim menjadikan Malaysia lebih menyerlah sebagai destinasi pilihan.
Potensi pelancongan mesra Muslim di Malaysia sangat besar, dan ini perlu terus diterokai secara strategik. Dengan pengiktirafan sebagai antara negara yang paling banyak menawarkan produk halal, Malaysia mampu menjadi peneraju dalam bidang ini.
Sebagai contoh, konsep inap desa mesra Muslim yang semakin berkembang memberikan peluang kepada pelancong Muslim untuk menikmati suasana dan budaya tradisional sambil mematuhi prinsip-prinsip Islam. Selain itu, pembangunan aplikasi teknologi seperti peta restoran halal, pengasingan fasiliti berdasarkan jantina, waktu solat, dan lokasi ruang solat semakin meningkatkan pengalaman pelancong Muslim di negara ini.
Peranan kerajaan dalam memacu sektor ini tidak boleh dipandang remeh. Peluncuran Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia awal Januari tempoh hari akan menjadi signifikan dengan penekanan kepada segmen pelancongan mesra Muslim untuk memperkukuh imej Malaysia di mata dunia. Kerjasama dengan organisasi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Islamic Tourism Centre, peniaga produk makanan dan pemilik premis makanan, juga memainkan peranan penting dalam memastikan standard halal dan mesra Muslim dipatuhi.
Agensi pelancongan dan pemain utama industri pelancongan turut memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keperluan pelancong Muslim dipenuhi. Ini termasuk menawarkan pakej pelancongan khas yang merangkumi pengalaman budaya Islamik dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim. Restoran, hotel, dan pusat pelancongan perlu memastikan label halal diiktiraf, menyediakan ruang solat selesa, menawarkan maklumat berkaitan waktu solat dan pengasingan fasiliti dan kemudahan berdasarkan jantina kepada pelancong Muslim.
Rakyat Malaysia juga memainkan peranan penting dalam menyokong pelancongan mesra Muslim ini. Sikap ramah dan mesra rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, memberi impak positif kepada pengalaman pelancong. Konsep Islam sebagai agama rahmatan lil ‘alamin, iaitu rahmat untuk seluruh alam, harus menjadi asas kepada cara rakyat Malaysia melayani pelancong. Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman, “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran” (Surah Al-Maidah, ayat 2). Ayat ini mengingatkan kita tentang kepentingan saling membantu dan mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan bermasyarakat, termasuk dalam industri pelancongan.
Tuntasnya, pelancongan mesra Muslim bukan sekadar peluang ekonomi tetapi juga cara untuk mempromosikan nilai-nilai Islam yang sebenar kepada dunia. Dengan usaha kolektif semua pihak seperti kerajaan, industri, dan rakyat sendiri, Malaysia mampu mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelancongan mesra Muslim, sekali gus menarik lebih ramai pelancong antarabangsa untuk datang dan menikmati keindahan serta keharmonian yang ditawarkan oleh negara ini.
Oleh: Prof. Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor, Pensyarah Kanan dan Felo Akademik di Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Dr Mad Ithnin Salleh, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Dr Nurul Fadly Habidin, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).