PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Jalan SS 5C/6, Kelana Jaya kira-kira pukul 5 petang pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, mangsa, Heng Tai Heng, 81, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Balai Polis Kelana Jaya, pukul 8.50 pagi tadi.
Mangsa mempunyai ketinggian 154 sentimeter (cm), berat 65 kilogram (kg), warna kulit putih, hidung besar dan bibir mulut nipis.
“Kali terakhir warga emas itu dilihat baju t-shirt berwarna kuning dan seluar pendek hijau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
M. Hussin berkata, polis merayu kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa untuk tampil di balai polis berhampiran.
Orang ramai boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mazli Jusoh @che kob di talian 011-61363848 atau Balai Polis Kelana Jaya (03-78062222) atau IPD Petaling Jaya (03-79662222). – MalaysiaGazette