JOHOR BAHRU– Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 18 warga asing dalam operasi selepas menggempur dua lokasi pasar malam di Kampung Melayu Majidee dan Taman Abad di sini kelmarin.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa JIM Johor melakukan operasi pada pukul 7 petang.
“Tindakan diambil susulan aduan awam yang diterima dan risikan JIM Johor ke atas kegiatan mengemis yang melibatkan warga asing di sekitar Johor Bahru.
“Seramai 18 warga asing yang ditahan terdiri daripada empat lelaki warganegara China, empat lelaki Thailand, tiga lelaki dan seorang wanita Kemboja, dua wanita dan dua lelaki Syria, seorang lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Pakistan.
“Mereka yang ditahan dalam lingkungan usia 40 tahun hingga 69 tahun. Pengemis jalanan yang ditahan dipercayai ada yang kudung dan cacat anggota untuk meraih simpati pengunjung pasar malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati semua pengemis mampu meraih pendapatan purata harian sehingga RM600 seorang.
Menurutnya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tambah beliau, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
JIM Johor katanya, menyeru semua pelawat warga asing di Malaysia supaya mematuhi undang-undang dan peraturan Imigresen.
Orang ramai juga diseru supaya menyalurkan maklumat tepat dan lengkap kepada Johor melalui saluran https://imi.spab.gov.my.- MalaysiaGazette