GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa lebih tegas dalam menguatkuasakan Akta 672 serta undang-undang kecil yang berkaitan bagi menangani masalah pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa di negara ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pembuangan sampah haram bukan sahaja merosakkan alam sekitar tetapi juga menjejaskan kesihatan masyarakat.
Tegas beliau, sisa plastik yang membanjiri tapak pelupusan haram turut menjadi ancaman serius, bukan hanya kepada alam sekitar, tetapi juga kepada ekosistem marin.
“Pada masa ini, hanya syarikat yang mempunyai lesen sah sahaja dibenarkan menjalankan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal jadi kita harus menghentikan tapak pelupusan sampah haram ini.
“Malah, plastik dalam bentuk mikro dan nanoplastik turut memasuki rantaian makanan dan akhirnya boleh terkumpul dalam tubuh manusia.
“Sehubungan itu, semua pihak harus memainkan peranan dalam usaha pengurusan sisa yang lebih baik melalui pengasingan sisa, pengurangan janaan sisa serta pengamalan kitar semula dengan selamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut Mohiden berkata, merujuk kepada laporan “Cleanest Countries in the World” yang diterbitkan oleh World Population Review menunjukkan Malaysia ketinggalan jauh berbanding negara lain dalam penilaian kebersihan global.
“Ini amat memalukan kerana sejak di bangku sekolah kita telah dididik untuk menjaga kebersihan, namun sikap sebahagian masyarakat yang tidak bertanggungjawab terus membuang sampah secara haram, menyebabkan masalah ini terus berlaku.
“CAP berharap agar kesedaran dalam kalangan masyarakat dipertingkatkan, dengan mencontohi budaya kebersihan yang diterapkan di negara-negara seperti Jepun, di mana masyarakatnya dididik sejak kecil untuk menjaga kebersihan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette