Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

KUALA LUMPUR – Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital atau Digital Economy Framework Agreement (DEFA) merupakan inisiatif strategik ASEAN untuk memanfaatkan kuasa pendigitalan bagi memangkin perdagangan serantau yang lebih lancar dan selamat.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata,  DEFA akan menjadi perjanjian digital serantau yang pertama seumpamanya.

Kata beliau, negara-negara anggota ASEAN akan melaksanakan langkah-langkah supaya dasar serta peraturan pendigitalan masing-masing diseragam dan saling kendali.

“Ini bertujuan menjadikan ASEAN rantau yang berdaya saing dan kondusif untuk perniagaan ke arah menjana nilai ekonomi digital serantau yang lebih tinggi menjelang tahun 2030.

“Bagi memastikan rundingan DEFA selesai dan mencapai prospek pembangunan ekonomi setiap negara anggota ASEAN, perancangan strategik telah dan akan terus dilaksana,
terutamanya semasa Malaysia menyandang Kepengerusian ASEAN pada tahun ini,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera-PH) yang meminta
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan apakah perancangan untuk memastikan penyelesaian rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) menjelang 2026 memandangkan tahap kesiapsiagaan digital yang berbeza antara
negara-negara ASEAN.

Chin Tong menambah, sebelum perjanjian DEFA dirundingkan, ASEAN telah menjalankan kajian terperinci untuk memahami kedudukan ekonomi digital di negara-negara anggotanya dan ASEAN secara keseluruhannya, serta mengukur potensi nilai yang boleh dibawa oleh DEFA.

Menurut beliau, kajian itu meneliti perbezaan dasar pendigitalan perdagangan antara negara anggota, mengkaji semula usaha semasa ASEAN dalam integrasi digital dan mengenal pasti amalan terbaik daripada perjanjian perdagangan digital antarabangsa lain
sebagai penanda aras seperti yang dirangka oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia.

“Di bawah Kepengerusian ASEAN 2025, DEFA sememangnya merupakan salah satu Keberhasilan Utama Ekonomi yang telah MITI kenal pasti untuk dimuktamadkan rundingannya pada akhir tahun ini.

“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berperanan dalam menggerakkan agenda utama integrasi ekonomi serantau di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2025 yang menekankan komitmen terhadap pembangunan yang saksama dan merapatkan jurang pembangunan.

“Ke arah itu, Malaysia menekankan dua pendekatan utama untuk melancarkan
proses rundingan DEFA di mana pendekatan pertama adalah program peningkatan keupayaan dasar negara-negara anggota ASEAN.

“Lebih sepuluh bengkel teknikal, sesi latihan dan dialog telah diadakan untuk Jawatankuasa Perunding DEFA pada tahun 2024, dengan kerjasama pakar-pakar dalam bidang ekonomi digital dan organisasi antarabangsa seperti UNCTAD, WEF dan OECD.

“Pada tahun ini, program tersebut akan diteruskan di dalam bidang pendigitalan yang lebih kompleks dan terkini, terutamanya dalam penggunaan teknologi digital, pengurusan data dan perlindungan siber di dalam rantaian perdagangan.

“Pendekatan kedua adalah menekankan pelaksanaan DEFA secara berperingkat dan berfasa, seperti yang diamalkan ASEAN dalam pembentukan Komuniti Ekonomi, terutamanya di dalam Perjanjian Perdagangan Bebas.

“Pendekatan ini adalah termasuk tempoh tangguh atau jangka masa pelaksanaan yang berbeza untuk membolehkan sesetengah negara anggota membangunkan
perundangan atau dasarnya,” katanya.

Chin Tong berkata, DEFA selari dengan agenda negara untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara yang dipacu digital dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Menurut beliau, aanya selari dengan dasar-dasar kebangsaan seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan dasar-dasar sektoral kelolaan MITI iaitu Rangka Tindakan Perdagangan Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha yang strategik untuk memastikan tahap ketersediaan negara-negara ASEAN dalam memuktamadkan DEFA, agar rantau ini dan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global demi meraih manfaat ekonomi dan sosio-ekonomi yang mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here