Ibu kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf (depan sebelah kanan) tiba di perkarangan Mahkamah bersama-sama ahli keluarga bagi sambungan perbicaraan atas tuduhan menganiaya anak mereka di Kompleks Mahkamah, Petaling Jaya. Foto HARI ANGGARA, 05 FEBUARI 2025.

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf tidak menjawab beberapa soalan atau memberikan reaksi ketika percakapan dirakam oleh pegawai penyiasat di kawasan kediamannya berhubung siasatan kehilangan kanak-kanak autisme itu.

Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, 33, menggambarkan Ismanira seperti ‘kosong’ atau tiada perasaan ketika diminta menjawab beberapa soalan berhubung kehilangan anaknya.

Pegawai polis tersebut menyatakan demikian ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz menjelaskan keadaan Ismanira ketika beliau merakam percakapan wanita itu di kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.

Pada peringkat itu, Nina Syamimi yang juga saksi pendakwaan keempat (SP4)  senyap seketika kerana tidak dapat mengawal perasaan sebelum menyambung keterangannya.

Aqharie:  Sila terangkan kenapa ambil kenyataan di tempat itu?
Nina Syamimi:  Untuk melihat tempat kejadian. Saya dapati sebelah Blok R terdapat saliran air, longkang, belukar dan semak samun. Keadaan pengadu ketika itu  …

Aqharie: Inspektor ok?
Nina Syamimi: Ketika itu saya ada tanya pengadu, pengadu tak dapat jawab … (saksi mula senyap dan sebak).

Pada peringkat itu, peguam Ramzani Idris membantah keterangan saksi berkenaan atas alasan ia dirakam di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Ramzani berkata, kenyataan itu kemudiannya dijadikan percakapan beramaran dan memohon ia dibekalkan kepada pembelaan.

Permohonan itu dibenarkan dan diserahkan oleh pihak pendakwaan.

Zaim Ikhwan Zahari

Pada sesi pemeriksaan utama, Nina Syamimi berkata, beliau menerima laporan Ismanira berhubung kehilangan anaknya pukul 5.51 petang, 5 Disember 2023 ketika sedang menjalankan satu siasatan berlainan di Hospital Sungai Buloh.

Ujar saksi, beliau menerima makluman berhubung laporan itu melalui panggilan telefon dari Balai Polis Sri Damansara berkaitan kehilangan kanak-kanak autisme itu.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira yang didakwa mengabaikan anak autisme mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Menurut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian), didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung esok. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast