MERSING -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di empat premis termasuk kandang ternakan dalam ladang kelapa sawit sekitar Felda Tenggaroh dekat sini kelmarin.
Operasi penguatkuasaan itu dijalankan oleh Unit Penguatkuasa JIM Cawangan Mersing bermula pukul 2.35 hingga 5.50 petang.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dilakukan berikutan maklumat dan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas/permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Semua warga asing yang ditahan adalah lima lelaki warganegara Indonesia, dua lelaki warga India serta seorang lelaki warga Myanmar berusia antara lingkungan usia 27 hingga 50 tahun.
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu katanya, dua notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan dan JIM Johor akan memperkasa penguatkuasaan di seluruh negeri bagi membanteras warga asing yang melanggar undang-undang serta peraturan.
“Jabatan ini turut memerangi majikan, pemilik premis serta individu yang bersubahat menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas/permit yang sah,” tegasnya.- MalaysiaGazette