KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat disyaki memberi rasuah bagi memonopoli kesemua projek yang ditawarkan oleh dua jabatan kerajaan di dua daerah sekitar Sarawak.
Perintah reman selama empat hari sehingga 8 Februari ini terhadap dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah dikeluarkan Majistret Sandy Yvette Freddy selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Miri.
Manakala dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an ditahan reman selama sehari telah dikeluarkan Majistret Romario Jonoi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sibu.
Sementara itu, di Kuching, Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga 9 Februari ini terhadap empat suspek lelaki berusia antara 20 dan 40-an.
Menurut sumber, kesemua suspek itu telah ditahan kira-kira pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari semalam di beberapa lokasi sekitar Sarawak melalui operasi khas.
“Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada tahun 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisyen sehingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.
“Pada masa yang sama, jurutera awam tersebut turut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan,” katanya.
Dalam operasi yang sama, SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette