Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Bukit Damansara.

KUALA LUMPUR – Kes Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) berkaitan isu tadbir urus agensi itu masih dalam siasatan berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPRM juga melihat dari aspek ketidakpatuhan dan tatakelola serta kepada semua kemungkinan isu-isu rasuah yang terlibat.

Ia seperti salah guna kuasa selaras dengan Akta 694 serta kesalahan-kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) termasuklah berkaitan penipuan dan fraud.

“Justeru, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan subseksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang
menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai perkembangan terkini siasatan SPRM terhadap pengurusan HRD Corp dan adakah kes itu sudah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Pada Julai lalu, SPRM menyiasat HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 berikutan ada beberapa keputusan diambil agensi itu didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.

Sebelum itu, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 sebelum ini dilaporkan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dilakukan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here