Tangkap layar video yang tular memaparkan sebuah kereta dibakar seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Columbia, Johor Bahru, Ahad lalu.

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki yang ditahan selepas membakar kereta isterinya direman tujuh hari bermula hari ini.

Majistret Mohamad Ridhwan Syarizal membenarkan permohonan pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Tempoh reman sehingga Selasa ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 25 tahun itu mengikut Seksyen Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek warga tempatan itu ditahan poli tengah malam tadi selepas hampir tiga hari diburu polis susulan insiden khianat membakar sebuah Toyota Vios yang video kejadiannya tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, suspek itu ditahan diĀ  Bukit Pasir, Batu Pahat pada pukul 12.20 tengah malam dan Toyota Vellfire yang digunakan suspek ketika kejadian turut dirampas.

Kelmarin, Raub berkata, polis memburu suspek dan menjalankan siasatan terhadap kes khianat itu yang dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Columbia di sini pukul 10.20 malam, Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan video berdurasi 28 saat yang tular memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik seorang wanita warga tempatan berusia 21 tahun disimbah dengan petrol dan dibakar seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.

Pihaknya percaya lelaki yang diburu adalah suami kepada wanita berkenaan dan difahamkan, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas berlaku perselisihan faham dalam hal rumah tangga.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek tiba-tiba muncul dan menyekat kenderaan yang dinaiki mangsa sebelum menyimbah petrol ke atas kenderaan itu.

Suspek kemudian menyalakan api dan terus melarikan diri menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here