BUTTERWORTH – Seorang lelaki yang mempunyai 14 rekod lampau direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun dan menyamar polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua di sini.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu dikeluarkan Penolong Pegawai Pendaftar, Nuha Farzana Nor ‘Azam di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/170 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah dengan berpakaian baju lokap serta diiringi polis.
MalaysiaGazette difahamkan, suspek tersebut ditahan jam 8.30 malam semalam oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Khas D9 Pulau Pinang di Jalan Pekan Lama Kuala Ketil, Kedah.
Tangkapan ke atas suspek dibuat susulan seorang warga asing membuat laporan disamun suspek dengan menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di susur keluar Sungai Dua di sini, pada 29 Januari lalu.
Suspek menunggang motosikal jenis Honda RSX dikatakan menahan mangsa berusia 40 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari Seberang Jaya menghala Sungai Petani, Kedah.
Susulan itu, suspek mengambil beg milik mangsa sebelum cuba melarikan diri dan curiga dengan tindakan suspek, mangsa bergelut untuk dapatkan semula barang miliknya dan suspek hanya sempat melarikan wang berjumlah RM200. – MalaysiaGazette