Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kereta dibakar seorang lelaki  di lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Columbia, Johor Bahru, malam, Ahad lalu

JOHOR BAHRU – Selepas empat hari melarikan diri, seorang lelaki terbabit insiden tular khianat dengan api ke atas sebuah kereta Toyota Vios berjaya ditahan polis tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 25 tahun yang diburu itu ditahan di Bukit Pasir, Batu Pahat pada pukul 12.20 tengah malam.

“Pihak polis turut merampas Toyota Vellfire digunakan suspek ketika kejadian berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah Batu Pahat menjalankan dua serbuan di Bukit Pasir, Batu Pahat dan Taman Sri Tebrau di sini.

“Hasil serbuan berjaya menahan suspek serta merampas barang bukti iaitu Toyota Vellfire. Suspek akan direman pagi ini selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 11 Februari,” katanya.

Kelmarin, Raub dilaporkan berkata, polis sedang memburu suspek dan menjalankan siasatan terhadap kes khianat itu yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau berhampiran Hospital Columbia di sini, pukul 10.20 malam, Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan video berdurasi 28 saat yang tular memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik seorang wanita warga tempatan berusia 21 tahun disimbah dengan petrol dan dibakar seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun.

Pihaknya percaya lelaki yang diburu adalah suami kepada wanita berkenaan dan difahamkan, suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas berlaku perselisihan faham dalam hal rumah tangga.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati suspek tiba-tiba muncul dan menyekat kenderaan yang dinaiki mangsa sebelum menyimbah petrol ke atas kenderaan itu.

Suspek kemudian menyalakan api dan terus melarikan diri menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire-.  MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here